Video bertarikh 10 Februari 2019 yang menunjukkan ahli muzik Uighur, Abdulrehim Heyit masih hidup. foto Agensi

BEIJING – Media rasmi China mendedahkan sebuah video yang menunjukkan ahli muzik Uighur yang didakwa meninggal dunia semasa dalam kem tahanan.

Video itu bertarikh 10 Februari, memperlihatkan seorang lelaki yang didakwa Abdulrehim Heyit.

Lelaki itu didakwa dalam keadaan baik.

Video itu muncul selepas Turki mendesak China menutup kem tahanannya ekoran laporan kematian Heyit.

Sehingga sejuta komuniti Uighur dilaporkan telah ditahan.

Namun, beberapa komuniti Uighur mempersoalkan kebenaran video berkenaan.

Pengerusi Projek Hak Uighur yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Nury Turkel berkata, beberapa aspek dalam video berkenaan adalah meragukan.

Ini kerana, dalam video berkenaan, Heyit berkata, beliau dalam proses disiasat berhubung kesalahan undang-undang negara.

Semalam, Turki menggesa China menutup kem tahanannya selepas seorang ahli muzik terkenal daripada etnik Uighur dilaporkan meninggal dunia.

Kementerian Luar Turki berkata, tahanan Uighur telah menjalani “penyeksaan” di “kem tahanan”.

Malah, Turki mendesak Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres “untuk mengambil langkah-langkah berkesan bagi menamatkan tragedi manusia” di sana. – MalaysiaGazette