Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPDNHEP dan Taklimat Ringkas Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 11 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Tiada lagi surat sokongan menteri, timbalan menteri atau ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk sebarang kepentingan mana-mana pihak.

Itu tegas menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai langkah mencegah amalan rasuah dan menegakkan integriti dalam kementeriannya.

Katanya, ketegasan itu adalah komitmen beliau dan timbalannya, Chong Chien Jen yang dipegang sejak hari pertama melaporkan diri Mei tahun lalu.

Menurut Saifuddin, ia adalah antara 22 strategi yang disusun dan diutamakan dalam Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sejajar dengan usaha kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

“Komitmen itu mengikat saya dan timbalan saya daripada hari pertama kami melapor diri yang mana tidak ada satu ayat pun, secebis kertas pun yang berupa arahan bertulis daripada hari pertama.

“Kami kekal dengan amalan ini sehingga kini sebab saya fikir kunci utama kejayaan kepada satu satu pelan adalah kepimpinan organisasi sendiri.

“Kami telah pun sekarang ini melaksanakan dengan penuh sedar. Maka sesiapa yang berhajat mendapatkan sokongan menteri kepada sebarang kepentingan apa pun di bawah kementerian ini dia tidak dapat..tidak akan berlaku,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KPDNHEP petang tadi.

Dalam perkembangan berkaitan tambah Saifuddin, KPDNHEP bertindak pantas untuk menjadi pihak pertama berbanding kementerian lain untuk melaksanakan pelan anti rasuah itu dalam organisasi.

Beliau menganggap pelan itu sebagai satu dokumen penting untuk memberi gambaran tekad politik kerajaan baharu untuk memimpin negara ini sebabai sebuah negara yang bebas rasuah.

Jelas beliau, rasuah boleh berlaku kalau wujud amalan monopoli dan elemen budi bicara berlebihan tanpa sifat akauntabiliti.

Ditanya bila pelaksanaan pelan anti rasuah peringkat kementerian, Ahli Parlimen Bandar Baharu Kulim itu telah berjumpa dengan Ketua Setiausaha KPDNHEP dan melahirkan hasrat mahu melihat ia dijayakan peringkat kementerian secepat mungkin.

“Bahagian integriti sudah membentangkan kepada saya satu garis masa usaha ini untuk dilaksanakan di peringkat kementerian kami.

“Lagi pun di peringkat ini kita cukup lumayan dengan bahan-bahannya yang mana pelan pelan yang di cadangkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC JPM) sangat komprehensif.

“Cabaran sekarang ialah menyesuaikannya dengan fungsi atau teras utama kementerian ini tetapi tidak wujud keperluan lagi buat masa ini untuk mengambil pakar luar,” ujar beliau lagi. – MalaysiaGazette