Peguam, Siti Kasim

KUALA LUMPUR – Menerusi hantaran terbaharu di laman Facebook, Siti Kasim memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak akan mendakwa beliau atas tindakannya menunjukkan jari tengah.

Kata peguam itu, seorang Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang telah merujuk kesnya sekali lagi kepada AGC dan mereka telah memutukan tiada tindakan selanjutnya.

“Inspector Sugen from IPD SUBANG referred my case again to our current AGC and they have decided to NFA (No Further Action) it!,” katanya dalam hantaran yang bertajuk No Further Action!! Good News Folk!

Siti Kasim berterima kasih kepada IPD Subang terutamanya kepada pegawai polis yang berkenaan kerana telah merujuk semula kes beliau kepada Jabatan Peguam Negara untuk menyemak kesahihan dakwaan yang disifatkan beliau sebagai berniat jahat.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana akhirnya kebijaksanaan menang.

Semalam peguam itu menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau akan didakwa di mahkamah Shah Alam pukul 9 pagi esok kerana menunjukkan jari tengah dalam satu forum pada September 2016.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat  menyebabkan Siti Kasim telah disiasat di mana menurut peguam itu para pengkritiknya mendakwa beliau menghina Islam.

“Tetapi, semua orang boleh tonton video itu. Saya tidak mengatakan apa-apa mengenai Islam. Mereka mengganggu saya, jadi ia respons automatik. Tidak ada gunanya mengherdik mereka. Saya tunjuk jari tengah kerana saya memandang hina kelakuan mereka,” katanya ketika itu. – MalaysiaGazette