Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik bercakap kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi, Hulu Langat, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik enggan mengulas mengenai sumbangan khas oleh Kementerian Kewangan kepada Kolej Universiti Selatan.

Beliau ketika ditanyakan soalan itu hanya menjawab dengan ringkas seolah-olah cuba mengelak.

“Ok, terima kasih,” katanya ringkas sebagai reaksi terhadap soalan yang diajukan selepas melakukan pecah tanah pembinaan sekolah baharu Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi, di sini hari ini.

Terdahulu, Maszlee dalam satu Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sekolah Menengah Bandar Tasik Puteri, dilihat tidak menjawab soalan sama yang diutarakan kepadanya.

Malah, jawapan yang diberikan tidak menjawab kepada soalan sebaliknya, beliau memberikan ulasan berkisar tentang program yang dihadiri.

“Pihak KPM akan bekerjasama dengan PDRM di dalam usaha menangani masalah gejala dadah di mana saja berlaku.

“Kita akan bekerjasama dengan semua pihak di dalam menjayakan agenda pendidikan negara,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai perkara tersebut selepas sidang media itu, Maszlee berkata, hanya akan menjawabnya pada sidang media pada majlis pecah tanah berkenaan.

Ini kerana katanya, beliau tidak mahu media melapor mengenai perkara lain yang akan mematikan laporan berita mengenai program yang dihadiri di sekolah itu.

Pas mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mewakili anaknya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk menyampaikan sumbangan khas RM2 juta kepada Kolej Universiti Selatan.

Ketua Penerangan Pas Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, sebelum ini, sejumlah peruntukan juga telah disalurkan kepada Kolej Universiti New Era.

Katanya, semua peruntukan itu bukan dari Kementerian Pendidikan, sebaliknya dana khas dari Kementerian Kewangan.

Dilaporkan, pada 30 Januari lalu, Kit Siang dikatakan hadir dan berucap pada majlis penyampaian peruntukan RM2 juta kepada Kolej Universiti Selatan.

Berdasarkan replika cek, peruntukan itu adalah daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan.

Namun, timbul persoalan, apabila ada pihak mempertikai kapasiti Kit Siang dalam menyampaikan sumbangan itu.

Terdapat juga cakap-cakap apabila ada yang menanyakan mengapa bukan Maszlee yang hadir menyerahkan dan berucap pada majlis itu sedangkan beliau merupakan seorang Menteri Pendidikan. – MalaysiaGazette