Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Kenyataan Peguam Cara Negara III, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria bagaimana Jabatan Peguam Negara (AGC) akan sentiasa patuh kepada segala arahan kerajaan sebenarnya tidak boleh diterima sama sekali.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor (DAP), Ramkarpal Singh berpandangan ada baiknya Mohamad Hanafiah disingkirkan sahaja seandainya tidak memahami peranan AGC secara keseluruhan.

Kata Ramkarpal, Mohamad Hanafiah seolah-olah tidak mengerti bahawa badan itu sepatutnya bebas dan tidak seharusnya menerima sebarang ‘arahan’ dalam apa jua isu daripada kerajaan.

“Pendirian dan kenyataan bersahaja Mohamad Hanafiah dalam hal ini serius dan perlu dikritik.

“Sebenarnya, pendirian serta pendapat beliau secara terang-terangan mencerminkan kejahilannya terhadap fakta bahawa AGC sentiasa bebas daripada arahan kerajaan dan sepatutnya tidak berpihak.

“Ini adalah kesalahan serius dan memalukan terhadap Mohamad Hanafiah. Sepatutnya, beliau meletak jawatan sahaja jika tidak faham semua ini. Atau singkirkan sahaja dari AGC,” katanya dalam catatan di laman sosial Facebook beliau lewat malam tadi.

Ramkarpal yang sentiasa di lihat lantang dalam kebanyakan isu berkata demikian mengenai laporan media terhadap emel Mohamad Hanafiah baru-baru ini kepada semua timbalan pendakwa raya, yang bocor serta tersebar dan menjadi perbualan umum.

Hanafiah memberitahu semua Timbalan Pendakwa Raya mengenai arahan kerajaan untuk mempercepatkan beberapa kes rasuah berprofil tinggi, termasuk kes melibatkan  SRC International Sdn Bhd, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Mohamad Hanafiah mempertahankan tindakan itu dengan mengatakan  bahawa AGC adalah sebahagian daripada jentera kerajaan Persekutuan, dan dalam menjalankan peranan itu, jabatan terbabit menerima arahan daripada kerajaan.

“AGC akan sentiasa patuh kepada segala arahan kerajaan selagi ia sah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang bertulis.

“Oleh itu, menjadi tugas saya selaku Peguam Cara Negara III yang bertanggungjawab terhadap pendakwaan untuk memaklumkan kepada semua timbalan pendakwa raya (DPP) terbabit berkenaan arahan kerajaan bagi memastikan kes-kes itu yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah.

“Saya ingin nyatakan di sini bahawa arahan itu adalah urusan dalaman AGC. Saya terkejut bila ia bocor dan kini dalam pengetahuan awam sedangkan ia hanya dialamatkan kepada DPP yang mengendali perbicaraan SRC, 1MDB dan kes-kes lain membabitkan Kerajaan Kleptokrasi. Ia tidak dialamatkan kepada sesiapa di luar AGC,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebabkan segelintir pihak tidak begitu senang terutamanya dalam kalangan penyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri yang jelas tidak mencerminkan prinsip ketelusan seperti yang dilaungkan sebelum ini.

Jelas Ramkarpal lagi, pada asasnya AGC memberikan nasihat kepada kerajaan dan bukan sebaliknya seperti yang ditonjolkan oleh Mohamad Hanafiah.

“Mungkin beliau telah lupa bahawa ini adalah badan bebas dan mendakwa mengikut bukti dan tidak pernah diarahkan oleh pihak tertentu termasuk kerajaan.

“Kita perlukan inividu yang bebas untuk tugas itu. Bukan mereka yang menerima arahan daripada kerajaan seperti ini,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: Saya terkejut bila ia bocor, kata Peguam Cara Negara III

1 Komen

  1. This is what we want, Executive & Judiciary being independent of one another.

    Then again, is it not, AG & AGC partaking Executive Instructions?

    The AGC is representing the government of the day, to prosecute while the Judiciary is the Arbitrators of the Law.

Comments are closed.