NAYPYIDAW – Gara-gara menerbangkan dron berhampiran bangunan Parlimen Myanmar di sini, seorang pelancong Perancis telah ditahan oleh pihak berkuasa negara itu, Khamis lalu.

Insiden itu telah disahkan oleh pihak kedutaan Perancis hari ini sambil memberitahu kesalahan warganegaranya itu dilakukan semasa lawatannya ke Myanmar.

“Seorang lelaki Perancis, dalam lawatan ke Myanmar, ditangkap lewat petang pada Khamis 7 Februari kerana menerbangkan dron ke Parlimen Myanmar.

“Lelaki Perancis itu masih dalam tahanan di ibu kota Myanmar.

“Keluarganya telah dimaklumkan mengenai penangkapannya dan kakitangan kedutaan cuba menjamin pembebasannya,” kata Kedutaan Perancis ke Myanmar dalam satu kenyataan, hari ini.

Tindakan lelaki Perancis itu menyalahi undang-undang Myanmar dan dia berdepan hukuman penjara 14 tahun jika disabitkan kesalahan itu.

Penangkapan pelancong Perancis itu menjadi tular selepas media tempatan Myanmar menerbitkan gambar, dron dan butiran pasportnya kepada umum.

Keduataan Perancis juga berkata, pihaknya masih menunggu siasatan pihak berkuasa berhubung motif sebenar lelaki itu menerbangkan dron tersebut.

Kesalahan menerbangkan dron bukan kali pertama bahkan dua wartawan masing-masing dari Singapura dan Malaysia turut ditahan kerana menerbangkan dron di Bangunan Hluttaw, di sini, 27 Oktober 2017.

Wartawan Lau Hon Meng dari Singapura dan Mok Choy Lin dari Malaysia membuat dokumentari untuk penyiaran negara Turki TRT ketika mereka ditahan pada Oktober 2017 bersama wartawan Myanmar, Aung Naing Soe dan pemandu Hla Tin. – MalaysiaGazette