Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (dua dari kiri) bersama Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi (dua dari kanan) bersama Ketua Pemuda IKATAN Malaysia, Shahir Adnan selepas perlawanan futsal baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Keserasian pimpinan pemuda parti blok pembangkang memberi mesej jelas kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia (IKATAN), Shahir Adnan berkata, pihaknya bersama Pergerakan Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas sudah duduk semeja merangka hala tuju pimpinan pemuda blok pembangkang.

Perbincangan berkaitan itu dibuat bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi baru-baru ini.

“Program tersebut sebenarnya menyampaikan mesej jelas dan padu kepada seluruh rakyat Malaysia dan pimpinan kerajaan PH.

“Mesej jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa blok anak muda pembangkang telah tekad sebulat suara untuk bersatupadu demi membawa aspirasi rakyat terutama anak-anak muda yang tertipu dengan janji-janji manis tapi palsu yang dicanang PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shahir, mesej jelas juga disampaikan kepada pihak kerajaan PH bahawa mereka kini berdepan dengan satu blok pembangkang anak muda yang kuat dan utuh.

Kesinambungan antara parti politik Gagasan Sejahtera (Pas dan IKATAN) serta UMNO itu juga dapat diserasikan apabila mereka bersama-sama dalam pperlawanan futsal selepas perbincangan.

“Ini merupakan permulaan kepada program bersama antara
Pemuda parti politik blok pembangkang,” kata Shahir lagi.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berharap ukhwah antara parti politik Gagasan Sejahtera dan UMNO akan diteruskan hingga PRU-15 akan demi penyatuan ummah dan kebaikan seluruh rakyat Malaysia.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan