KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan momentum menaik hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kelemahan dolar AS susulan kebimbangan muncul di AS selepas penutupan jentera kerajaan kali kedua dan ketegangan perdagangan AS-China yang sedang berlangsung.

Setakat 9 pagi, nota tempatan berada pada 4.0630/0660 berbanding dolar AS daripada 4.0670/0720 penutup Jumaat.

Maybank Kim Eng dalam nota penyelidikan hari ini berkata kebimbangan penutupan jentera kerajaan kedua meningkat selepas perbincangan di kongres berhubung pembiayaan tembok keselamatan di sempadan AS-Mexico mencetuskan masalah.

“Rundingan masih boleh kembali ke landasan tetapi mendapatkan kesepakatan pada tarikh akhir Jumaat seolah-olah tergelincir sungguhpun penggubal undang-undang berpandangan kompromi akan dicapai,” katanya.

Mengenai ketegangan perdagangan yang berlanjutan Washington dan Beijing, penganalisis lain berkata pelabur kini memantau pasaran baharu muncul ketika mana AS dan China akan mengadakan satu lagi rundingan 14 dan 15 Februari.

Dilaporkan bahawa Naib Perdana Menteri China Liu He akan menyertai Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin dalam rundingan perdagangan peringkat tinggi antara kedua negara minggu depan.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih kukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9963/9992 daripada 2.9988/9029 Jumaat dan menokok berbanding yen kepada 3.6994/7031 daripada 3.7023/7079.

Berbanding euro, unit tempatan mengukuh kepada 4.6005/6056 daripada 4.6059/6124 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.2559/2614 daripada 5.2590/2667 Jumaat. – MalaysiaGazette