Dr Maszlee Malik

SEMENYIH – Individu yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi digalak merujuk terlebih dahulu status pengajian yang ingin diikuti dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, MQA merupakan agensi yang akan mengenal pasti semua program akreditasi di universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Jadi, pada semua yang ingin melanjutkan pengajian kita menggalakkan mereka rujuk dengan MQA supaya tidak tertipu.

“MQA sudah membuat piawaian yang tinggi untuk tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pembelian sijil kelayakan akademik dalam talian, seperti di lapor sebuah akhbar berbahasa Cina.

Sin Cheew Daily melaporkan, Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI), M. Elajsolan yang mendedahkan, terdapat beberapa universiti di luar negara seperti menawarkan ‘kelayakan akademik’ kepada pemohon tanpa memerlukan mereka mengikuti apa-apa pengajian.

Kata beliau, keadaan itu berlaku dikebanyakan universiti di Amerika Syarikat yang diibaratkan sebagai ‘kilang ijazah’ apabila beroperasi dalam sebuah rumah kedai atau pejabat kecil.

Artikel berkaitan: Ijazah diragui di hujung jari

Sementara itu, dalam perkembangan lain Maszlee berkata, lawatannya ke Beranang dan Semenyih hari ini tiada kaitan dengan pilihan raya kecil (PRK) Semenyih yang akan berlangsung pada 2 Mac ini.

Katanya, program yang dihadiri sudah dirancang sejak dari awal dan ia merupakan program berterusan kementerian yang dijadualkan setiap tahun. – MalaysiaGazette