Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi. foto Agensi

BANGKOK – Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand akan mempertimbangkan pada hari ini tentang pencalonan seorang puteri diraja Thailand yang mahu bertanding sebagai calon perdana menteri untuk pilihan raya pada Mac ini.

Pertimbangan itu bakal dibuat oleh suruhanjaya tersebut selepas Raja Maha Vajiralongkorn menyifatkan tindakan kakaknya untuk bertanding sebagai “tidak wajar” dan ‘tidak mematuhi Perlembagaan’.

Suruhanjaya Pilihan Raya itu juga akan mempertimbangkan cadangan supaya parti yang mencalonkan Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi, 67, supaya diharamkan.

Pilihan raya Thailand yang dijadualkan berlangsung pada 24 Mac nanti adalah yang pertama sejak rampasan kuasa tentera pada tahun 2014.

Thailand merupakan sebuah negara monarki berpelembagaan sejak tahun 1932 tetapi keluarga diraja memiliki pengaruh besar.

Semalam, seorang aktivis berkata, beliau akan memfailkan petisyen untuk membatalkan kelayakan Parti Thai Raksa Chart.

“Pengumuman kerajaan menyatakan dengan jelas bahawa parti itu melanggar undang-undang pilihan raya,” Srisuwan Janya, Setiausaha Agung Persatuan Perlindungan Perlembagaan.

Pengerusi Eksekutif Parti Thai Raksa Chart, Chaturon Chaisaeng enggan mengulas desakan ramai yang mahu parti tersebut diharamkan.

Ini kerana, undang-undang pilihan raya negara itu melarang menggunakan keluarga diraja dalam kempen.

Sebaliknya, dalam satu kenyataan, parti itu berkata, ia akan terus bertanding dalam arena pilihan rata untuk menyelesaikan masalah negara.

Pemimpin Junta, Prayuth Chan-ocha turut bertanding dalam pilihan raya tersebut. Beliau adalah pemimpin tentera dan terlibat dalam rampasan kuasa kerajaan yang diketuai oleh adik Thaksin Shinawatra, Yingluck. – MalaysiaGazette