Seorang sarjan tentera antara lapan lelaki Orang Asli yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki enam tahun lalu.
Gambar hiasan

IPOH – Seorang sarjan tentera antara lapan lelaki Orang Asli yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki enam tahun lalu.

Mereka ialah Sjn. Hanny a/l Itam, 34; Norazizan a/l Awang, 34; Lemay Uda Jamil, 34, Laies a/l PA Engah, 36; Ramlan a/l Dollah, 24; Jassiva a/l Pandak, 29; Azwan a/l Alim, 28 dan Irwan a/l Ngah, 27.

Merekd dituduh secara bersama-sama menyebabkan kematian Mohd Azrin Mohd Arif di Kampung Chenderung Kelubi, Tanjung Tualang antara 12 tengah malam hingga 3.30 pagi pada 5 April 2013, menurut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Julie Lack Abdullah menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan tujuh suspek di sekitar Kampung Gajah dan Tanjung Tualang antara 29 Jan hingga 2 Feb lalu sementara anggota tentera terbabit ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Arau, Perlis pada 4 Feb lalu.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes Mohd Azrin yang mayatnya ditemukan terapung di kawasan lombong di kampung berkenaan pada 6 April 2013.

— BERNAMA