Prof Dr. Ahmad Murad Merican

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya sewajarnya mempertimbangkan supaya setiap calon yang bakal bertanding pada pilihan raya pada masa depan memaparkan kelayakan akademik masing-masing.

Tujuannya bukan untuk mempertikaikan tahap akademik calon yang bertanding, sebaliknya ia merupakan satu proses penapisan untuk memastikan calon tidak melakukan penipuan berhubung sijil akademik mereka.

Dengan cara itu, ia memberi ruang dan peluang kepada rakyat yang bakal mengundi menilai sendiri kredibiliti, ketelusan dan kejujuran calon-calon yang akan dipilih untuk memerintah negara ini.

Profesor di Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican berkata, pemilikan ijazah atau sebarang kelayakan akademik secara tidak sah dalam kalangan pemimpin tidak boleh sewenang-wenangnya diterima oleh rakyat.

Jika perbuatan itu tidak ditangani atau ditolak oleh rakyat, ia pasti memberi isyarat dan mesej yang salah kepada generasi akan datang.

“Kenapa kita perlu mendiamkan diri apabila ada dalam kalangan ahli politik bertindak membeli ijazah daripada ‘bogus’  universiti dan kemudian menggunakannya untuk menipu rakyat.

“Ini bukan soal tidak ada ijazah tetapi boleh menjadi pemimpin yang baik. Ini bukan isunya, kena faham isu.

“Tetapi isunya adalah penipuan yang dibuat oleh mereka. Mana letaknya integriti pemimpin begini, adakah kita membenarkan pemimpin begini menerajui kerajaan dan memimpin rakyat?

“Jika demokrasi dan hasil dari proses demokrasi itu ialah penipuan, apa gunanya ideologi tersebut? Apakah kita tidak boleh menilai demokrasi dalam satu sistem demokrasi?,” soalnya.

Beliau turut menyelar ada dalam kalangan ahli politik yang lepas tangan mendakwa tidak tahu tentang kesilapan maklumat akademik masing-masing.

Jelasnya, takkanlah pemimpin-pemimpin berkenaan tidak melihat keterangan peribadi sendiri yang dipaparkan dalam pelbagai medium termasuk kalender parti.

“Mereka bukan tidak ada pembantu untuk memeriksa maklumat. Bila isu ini (penipuan ijazah) timbul, masa itu timbul macam-macam komen,” katanya.

Berhubung cadangannya kepada SPR itu, beliau menambah, sudah sampai masanya rakyat di negara ini mendapat pemimpin yang sekurang-kurangnya memiliki ijazah kelas pertama supaya dapat memacu Malaysia untuk menjadi negara maju, matang, lebih berintegriti dan menjadi negara maju industri.

“Saya tidak mendabik dengan kelayakan akademik tetapi opsyen ini perlu difikirkan semula,” katanya sambil menempelak pemimpin-pemimpin yang cuba mempertahankan ‘kawan-kawan’ mereka yang didakwa memiliki ijazah secara meragukan.

Menurutnya, ketika ramai rakyat di negara ini berlumba-lumba berusaha mendapat pendidikan secara sah, mengapa perlu untuk menyokong pemimpin yang menipu.

“Untuk apa?,” soalnya lagi.

Beliau yang sedih dengan senario itu berkata: “Kenapa hendak mempertahankan con man (individu yang menipu). Kita tolak kerajaan dahulu kerana wujudnya con man dan kenapa perlu wujudkan con man baharu.

“Kenapa pandang remeh soal penipuan dan integriti, seolah-olah rakyat di negara ini tidak ada pilihan pemimpin terbaik,” tegas beliau. – MalaysiaGazette