Akademi Bola Sepak Wira Negara sedang melatih 110 kanak berusia antara enam hingga 15 tahun.

NIBONG TEBAL – Akademi Bola Sepak Wira Muda (Wira Muda) kini menjadi platform mencungkil bakat pemain bola sepak yang mampu mewakili Pulau Pinang dan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi.

Pengasasnya, Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib berkata, program pembangunan bola sepak akar umbi itu berperanan ke arah memastikan akademi tersebut mampu menyediakan pelapis berpotensi besar.

Menurutnya, buat permulaan seramai 110 pemain berusia antara enam hingga 15 tahun sedang mengikuti latihan di padang Institut Latihan Kecemerlangan Mara di Jawi di sini dengan yuran bayaran dikenakan paling minimum.

26f7b91a-51f2-4f2c-9bc6-ddf0f09d4875
Pembangunan bola sepak perlu bermula di akar umbi seawal usia muda.

“Ketika dilancarkan, jumlah pelatih hanya 80 orang namun ia bertambah secara mendadak sehingga kini. Pelatih yang dipilih dibahagikan kepada empat peringkat umur iaitu bawah lapan tahun, 10 tahun, 12 tahun dan 15 tahun.

“Mereka yang terpilih menyertai akademi ini dibekalkan dengan jersi khas dan kelengkapan peralatan sukan lain terkini

“Pemain akademi ini akan berlatih selama empat jam seminggu dan diberi bimbingan sepenuhnya oleh jurulatih professional selain mereka didedahkan dengan klinik video bola sepak dan sesi mandi ais dari peringkat awal untuk menjadi pemain profesional,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

326d4119-feba-4ea3-8e3c-881fbc36faa9
Pelatih menjalani latihan selama empat jam seminggu.

Wira Muda yang dilancarkan pada awal Oktober tahun lalu merupakan akademi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan dan di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang.

Akademi ini mendapat sokongan penuh Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman sebagai tanda prihatin dengan menyalurkan peruntukan wang tunai untuk membeli peralatan sukan.

Dalam pada itu, Shaik Awish Alkirani berkata, beliau mahu melihat lebih ramai anak kelahiran Nibong Tebal yang menyertai akademi itu mampu beraksi untuk pasukan Pulau Pinang suatu hari nanti.

51389697_650419445375149_6410759243611242496_o
Akademi Bola Sepak Wira Muda menyediakan peralatan latihan yang lengkap dan terkini.

“Setidak-tidaknya ada bakat yang boleh digilap dan mampu bermain di peringkat negeri. Mungkin kita mampu melahirkan lebih ramai pemain bola sepak di daerah ini.

“Bila sebut Nibong Tebal, mereka tahu di sini terdapat akademi bola sepak terbaik. Saya yakin impian dapat direalisasikan jika semua pihak memberi sokongan sepenuhnya.

“Dan Wira Negara bukan sekadar akademi namun tempat mendapat pendidikan awal dan ilmu pengetahuan tentang bola sepak dalam usaha melahirkan pemain bijak menguruskan karier mereka pada masa depan,” katanya.

b0bd8d9f-87b3-4321-af6a-177f2b395e2d
Shaik Awish Alkirani (kiri sekali barisan belakang) bersama barisan jurulatih yang memiliki sijil bertauliah.

Shaik Awish Alkirani sebelum ini merupakan pemain Perlis namun beliau nekad untuk bersara daripada dunia bola sepak walaupun baru berusia 25 tahun.

Selain pernah ditimpa kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sebanyak tiga kali, anak kelahiran negeri ini juga berdepan dengan gaji tertunggak selama empat bulan bersama pasukan Singa Utara itu yang beraksi dalam Liga FAM itu musim lalu.

Sebelum ini beliau pernah mewakili pasukan Piala Presiden Pulau Pinang, Real Mulia, PKNP FC dan MOF FC.

Sementara itu, ibu bapa yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Wira Muda boleh menghubungi talian 0149027646. – MalaysiaGazette