Rina Harun
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun meluangkan masa melawat sebahagian gerai jualan pada Program Walkabout sebagai lawatan kerja di Bazar MARA, Semenyih, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Bangunan-bangunan dan premis-premis usang milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan dirobohkan dan dibina dengan wajah baharu dalam usaha menyediakan ruang perniagaan yang kondusif untuk usahawan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kebanyakan bangunan dan premis di bawah Mara sudah berusia lebih 30 tahun dan memerlukan sentuhan baharu mengikut perubahan masa.

Katanya, Mara giat menjalankan transformasi premis luar bandar di premis-premis lama yang bertujuan menyediakan ruang niaga yang selesa dan serba baharu.

“Di bawah usaha ini tiga pendekatan diberi fokus oleh Mara iaitu membina bangunan baharu di atas tanah milik Mara sedia ada, kedua merobohkan bangunan lama dan usang itu dan membina semula bangunan baharu di tapak asal dan ketiga memberi imej baharu.

“Kita bukan nak bina bangunan baharu sampai mencakar langit sebab itu akan melibatkan bajet kewangan yang lebih besar, itu bukan hasrat kami.

“Apabila nak sewakan kepada usahawan kelak, bukannya ikut kadar sewa komersial pasaran semasa, tetapi reka bentuknya mesti mesra dan mengikut keadaan sekarang,” katanya dalam sidang media selepas melawat kawasan Dewan Undangan Negeri Semenyih dan Walkabout di Bazar Mara Semenyih tengahari tadi.

Tambahnya, premis baharu itu dapat membantu usahawan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka menerusi bimbingan kerajaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Rina berkata, sehingga kini Mara mempunyai 514 premis dan daripada jumlah itu 181 adalah bazar Mara, 119 buah arked, 189 buah lot komersial, 24 buah kompleks Industri MARA (KIM) dan 6 buah taman industri halal.

Katanya, daripada jumlah presmis miliknya, Mara dapat menyediakan 7,116 lot perniagaan.

“Usaha ini tidak akan terhenti di sini apabila Mara menjelang 2030 mensasarkan sebanyak 10,000 lot perniagaan untuk memanfaatkan lebih ramai usahawan menerusi perniagaan.

“Usaha ini jelas akan mewujudkan 7,000 peluang perniagaan baharu kepada usahawan kecil dan sederhana serta mencipta peluang pekerjaan kepda lebih 30,000 orang.

“Bazar Mara yang saya Walkabout di sini (Semenyih) hari ini juga lebih sempurna denga kemudahan ruang niaga selesa memanfaatkan 14 peniaga dengan kadar sewa yang minima jauh rendah berbanding pasaran semasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette