TRX
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Lendlease, Steve McCann (kiri) diberi penerangan dari Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd., Datuk Azmar Talib (kanan) pada Majlis Pelancaran The Exchange, TRX di Hotel The Ritz Carlton, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan percaya mampu mendapatkan semula pulangan pelaburan dan kos lepas yang telah dikeluarkan bagi projek TRX.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk meneruskan projek tersebut menunjukkan pentadbiran sekarang menghormati perjanjian-perjanjian yang telah dibuat oleh kerajaan terdahulu di samping mengalu-alukan pelaburan mantap ke negara ini.

“Kerajaan sekarang percaya semua pelaburannya perlu melalui analisis ketat sejajar dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus.

“Disebabkan itulah, semasa saya mula-mula memegang jawatan ini, saya telah mengarahkan semua projek berkaitan kerajaan disemak semula dengan segera.

“Semakan tersebut menunjukkan kerajaan boleh mendapatkan semula (pulangan) pelaburan dan kos lepas yang telah dikeluarkan untuk TRX.

“Hasilnya, tahun lepas kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan pembiayaan tambahan kepada TRX City sehingga RM2.8 bilion bagi menyiapkan keseluruhan projeknya terutamanya prasarana berkelas dunia di TRX,” katanya ketika berucap merasmikan The Exchange, TRX di sini hari ini.

Guan Eng juga menyaksikan pemeteraian perjanjian di antara Lendlease-TRX bersama HSBC, Standard Chartered Bank, Sumitomo Mitsui Banking Corporation dan Maybank bagi kemudahan pembiayaan bernilai RM2.5 bilion untuk tempoh lima tahun.

Katanya, kesanggupan keempat-empat bank utama itu menyediakan kemudahan penbiayaan tersebut menunjukkan sejauh mana kehebatan TRX City dan progres yang telah dilakukan oleh kerajaab sejak mengambil alih kerajaan pada 9 Mei lalu.

“Kami telah “membersihkan” hantu-hantu” 1MDB yang telah merosakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan,” tambahnya. -MalaysiaGazette