Korea Utara telah menghentikan semua ujian senjata nuklear sejak akhir tahun 2017. foto Agensi

WASHINGTON – Korea Utara terus menghasilkan bahan bom ketika dalam rundingan untuk menghentikan senjata nuklear di Semenanjung Korea dengan Amerika Syarikat.

Malah, Pyongyang mungkin telah menghasilkan secukupnya senjata nuklear dalam beberapa tahun lalu bagi menambah sekurang-kurangnya tujuh senjata yang sama.

Ia merupakan dapatan kajian yang dikeluarkan beberapa minggu lalu menjelang pertemuan kali kedua antara Presiden Donald Trump dan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Bagaimanapun, Korea Utara telah membekukan ujian nuklear dan peluru berpandu sejak tahun 2017 – bermakna program senjata Pyongyang telah kurang memebri ancaman berbanding sebelum tempoh itu.

Laporan itu dikeluarkan oleh Pusat Kerjasama dan Keselamatan Antarabangsa Universiti Standford.

Bekas Pengarah makmal senjata Los Alamos di New Mexico, Siegfried Hecker berkata, imej-imej satelit juga menunjukkan Korea Utara masih terus menghasilkan bom pada tahun lalu.

Beliau berkata, bahan bakar yang dihasilkan daripada operasi reaktor 5 megawatt di loji nuklear utamanya di Yongbyon dari tahun 2016 hingga 2018 nampaknya telah diangkut bermula pada bulan Mei dan akan menghasilkan kira-kira 5-8 kilogram plutonium gred senjata.

Ini digabungkan dengan pengeluaran 150 kilogram uranium, mungkin telah membenarkan Korea Utara meningkatkan jumlah senjata antara lima dan tujuh, kata laporan Stanford.

Pasukan Hecker menganggarkan saiz senjata Korea Utara pada 2017 kepada 30, menjadikan jumlah senjata sebanyak 37.
Perisikan A.S. tidak pasti berapa banyak peledak nuklear Korea Utara.

Tahun lepas, Agensi Perisikan Pertahanan berada pada tahap yang tinggi dengan anggaran kira-kira 50 kepala peledak nuklear, manakala penganalisis menganggarkan antara 20 hingga 60.

Laporan Stanford mengatakan, Korea Utara akan menghasilkan kepala peledak untuk memastikan mereka boleh melaksanakan penghantaran melalui peluru berpandu balistik antara benua.

Namun, penggantungan ujian telah mengehadkan keupayaan untuk membuat penambahbaikan. – MalaysiaGazette