Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memandang serius dakwaan berlakunya transaksi jualan di tengah laut jika melibatkan tangkapan dalam perairan negara.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya meminta pihak penguatkuasa termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meningkatkan kawalan bagi memastikan perbuatan yang merugikan hasil negara itu dapat dibanteras.

Bagaimanapun, beliau percaya pendaratan hasil tangkapan di pelabuhan luar itu tidak berlaku kerana vesel yang berdaftar di negara ini tidak dibenarkan mendarat ikan di negara asing.

“Sungguhpun begitu, transaksi penjualan hasil tangkapan di tengah laut mungkin boleh berlaku jika di perairan Zona Ekonomi Eksklusif (ZEE).

“Apa yang penting, jika penguatkuasaan dipertingkatkan, pencerobohan nelayan asing dapat dibendung supaya tiada ketirisan hasil tangkapan ikan berlaku bagi memastikan kepentingan nelayan tempatan tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian merujuk laporan sebuah televisyen swasta dalam siaran bulletin pagi Sabtu yang melaporkan berlaku transaksi jualan hasil tangkapan di tengah laut melibatkan nelayan tempatan dengan nelayan asing.

Menurut Muhammad Faiz, LKIM diketuainya adalah agensi yang dipertanggungjawabkan untuk meluluskan pendaftaran vesel yang layak mendapat diesel subsidi dan memperakukan pusat jualan diesel bersubsidi di seluruh negara.

Selain itu, katanya, terdapat kuota dalam pemberian diesel bersubsidi kepada vesel nelayan yang telah ditetapkan mengikut zon tangkapan, perkakasan dan juga Gross Register Tonnage (GRT).

Jelas beliau, ketetapan kuota minimum bagi sesebuah vesel adalah sebanyak 1,000 liter sebulan dengan had kuota maksimum kira-kira 24,000 liter sebulan.

“Dalam penyaluran minyak subsidi diesel pula, aspek pengawalan melalui penyediaan prosedur standard operasi telah diberi penekanan dengan menetapkan langkah pematuhan bagi mendapatkan bekalan itu di pusat jualan.

“Antaranya, LKIM telah mewajibkan penggunaan Sistem e-Nelayan yang dihubungkan dengan alat peranti khas di setiap pusat jualan runcit diesel bersubsidi.

“Sistem ini hanya boleh dilaksanakan melalui MyKad pemilik vesel sahaja untuk pembelian bahan api tersebut mengikut had kuota masing-masing,” jelas beliau.

Selain itu, ujarnya lagi, nelayan juga perlu membuat pengisytiharan hasil tangkapan di pusat pengisytiharan pendaratan ikan LKIM sebelum pembelian diesel bersubsidi dapat dilakukan oleh nelayan melalui sistem e-pengisytiharan.

Bahkan, pelaksanaan bantuan bersasar nelayan yang dikuatkuasakan pada tahun ini adalah antara kaedah pengawalan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan dan penyelewangan.

Beliau turut menjelaskan, kuantiti penggunaan petrol bersubsidi sepanjang tahun lalu untuk Perlis sahaja sebanyak 2,465,653 liter dengan nilai RM4,068,327.45 bagi penggunaan petrol, manakala diesel bersubsidi 19,281,690.85 liter dengan nilai RM31,473,580.90 dengan mencatatkan 103,269.26 tan metrik jumlah pendaratan ikan. – MalaysiaGazette