Keadaan mayat Siti Masitah Ibrahim yang ditemui di ladang kelapa sawit dipercayai dibunuh akibat dendam kepada keluarga.

PEKAN – “Masitah sempat lambai pada kami masa lalu depan sekolah walaupun motosikal tu (ditunggang) laju sangat”.

Itu cerita seorang rakan Siti Masitah Ibrahim, 11, kanak-kanak perempuan yang mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap di ladang kelapa sawit di Kampung Kemahang, Tanjung Medang di sini Sabtu lalu selepas dilapor hilang 30 Jan lepas.

Mayat kanak-kanak malang itu ditemui dalam keadaan ngeri dengan tangan berikat dari belakang selain kepala terpisah dari badan dengan beberapa organ dalaman turut dilaporkan hilang dipercayai akibat dimakan haiwan liar.

Riduan Ibrahim, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Tanjung Medang itu mendakwa dia dan rakannya ternampak Siti Masitah membonceng sebuah motosikal.

“Kami tak nampak muka Masitah sebab dia pakai helmet tapi kenal baju yang dipakai sama seperti ketika di kelas mengaji tengah hari tu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Katanya, dia bersama seorang lagi kawannya ternampak Masitah ketika mereka berada di pagar sekolah dan mahu pulang ke rumah selepas latihan bola tampar.

Sementara itu sepupu kanak-kanak perempuan itu, Norasiah Abdul Manan, 33, berkata lelaki yang didakwa individu terakhir dilihat bersama kanak-kanak perempuan itu amat rapat dengan keluarga Siti Masitah dan selalu makan minum dan tidur di rumah keluarga sepupunya itu.

Norasiah berkata ibu Siti Masitah pernah melutut merayu lelaki itu memberitahu di mana Siti Masitah berada memandangkan dia adalah individu terakhir dikatakan dilihat bersama kanak-kanak perempuan itu.

Mayat Siti Masitah yang berketurunan Kemboja ditemukan pada jam lebih kurang 4 petang Sabtu lalu oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di kawasan itu sebelum melaporkannya kepada polis.

Polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga rakyat Kemboja dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri bagi membantu siasatan kes itu.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan