Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan kad keahlian PPBM kepada Bekas Ahli Parlimen UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (kanan) sambil diperhatikan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kanan) dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Marzuki Yahya (kiri) pada sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pendirian seseorang terhadap parti boleh berubah mengikut keadaan.

Menurutnya, perkara itu boleh terjadi sekiranya pemimpin dalam parti itu menjadi pembelot dan tidak lagi setia kepada negara.

“Dahulu saya mengecam (Penasihat DAP) Lim Kit Siang dan (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tapi sekarang saya bersama mereka dan mereka juga dulu kecam saya.

“Kalau kita terikat kepada sesuatu pemimpin dan parti sehingga parti itu jadi parti penyamun pun kita kekal juga itu bermakna kita bukan ahli politik tapi ahli untuk diri sendiri.

“Kita boleh berubah, kita bukan tetap selamanya,” katanya.

Mahathir berkata demikian menjawab soalan berhubung tujuh bekas pemimpin UMNO merupakan ahli Parlimen yang diterima menyertai Bersatu hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata. kemasukan tujuh-tujuh individu berkenan ke dalam parti itu dibuat secara bersyarat.

Katanya, kesemua permohonan mereka telah dikaji terlebih dahulu dan hanya akan menjadi ahli biasa tanpa memegang sebarang jawatan dalam parti.

“Menjadi ahli Bersatu tidak bermakna mereka mencari perlindungan daripada parti ini. Kita tidak akan memberi perlindungan terhadap apa-apa yang dilakukan dahulu,” katanya.

Mahathir berkata, parti pimpinannya akan menggunakan khidmat ahli parlimen berkenaan bagi tugas-tugas tertentu termasuk berkempen pada pilihan raya untuk Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, Bersatu menerima permohonan ahli parlimen tersebut berikutan terdapat usaha untuk ‘menghidupkan semula’ UMNO yang kini telah bekerjasama dengan Pas.

“(Dahulu) UMNO ini adalah parti kafir mengikut Pas dan ditolak sama sekali tetapi apabila untung bagi Pas, dia akan bekerjasama dengan semua parti,” ujarnya.

Tambah beliau, Bersatu memperjuangkan Melayu dan bumiputera kerana parti itu masih berasa tidak selamat jika tidak mempunyai jumlah perwakilan tertentu dalam parti gabungan dan kerajaan.

“Kita akan menentukan nasib mereka akan terpelihara sementara kita bekerjasama dengan parti-parti lain yang berbilang kaum termasuk DAP.

“Inilah hasrat kita dan telah kita jelaskan kepada ketujuh-tujuh orang (bekas ahli parlimen UMNO) ini dan mereka faham,” tambahnya. – MalaysiaGazette