Ringgit gagal mengekalkan kenaikannya semalam apabila dibuka rendah pagi ini berbanding dolar AS apabila para pelabur beralih kembali kepada aset lebih berisiko, kata para peniaga.

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan pelabur kekal berhati-hati dengan kebimbangan geopolitik berhubung perkembangan perbincangan perdagangan AS-China.

Pada 9 pagi ini, nota tempatan berada pada 4.0750/0790 berbanding 4.0700/0750 harga penutup dolar AS semalam.

Peniaga berkata, ketidaktentuan berhubung hasil perbincangan AS-China menyebabkan pelabur kini beralih kepada mata wang yang lebih selamat.

“Sekiranya ini berterusan, ia bukan saja akan menjejaskan perdagangan, malahan harga minyak. Prestasi ringgit sangat bergantung kepada kestabilan harga minyak,” katanya.

Pada 9 pagi, harga minyak mentah Brent berada pada AS$61.51 setong berbanding AS62.12 setong semalam.

Peniaga itu berkata, hubungan antara kedua-dua kuasa besar (AS-China) itu semakin tegang, terutama dalam sektor teknologi yang membabitkan satu daripada syarikat terbesar China, Huawei Technologies.

Presiden AS dilaporkan dijangka memeterai perintah eksekutif yang melarang syarikat tanpa wayar AS membeli peralatan telekom dari China, dengan keputusan muktamad dijangka diketahui dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Ini menjejaskan jualan syarikat teknologi Amerika Syarikat, Apple Inc, ekoran eksportnya ke China jatuh 19.9 peratus pada suku keempat,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9932/9973 daripada 2.9953/0001 semalam dan meningkat berbanding yen kepada 3.6871/6917 daripada 3.6913/6961.

Berbanding euro, unit tempatan meningkat kepada 4.5937/6003 daripada 4.5937/6003 dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.2413/2480 daripada 5.2495/2576. – BERNAMA