Rangka pintu kenderaan Pasukan Bomba dan Penyelamat yang tercabut akibat insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 27 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Saksi inkues kematian anggota bomba, Ahmad Shahril Othman berkata, laporan polisnya mengenai Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim ditarik dan dipukul perusuh pada November  lalu adalah satu andaian.

Kata pegawai perubatan yang memandu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dinaiki Adib ketika kejadian, andaiannya itu berdasarkan serbuan perusuh dan cubaan untuk membuka kenderaannya.

Saksi ke-3 pada hari kedua inkues itu menambah, beliau tidak sedar bagaimana Muhammad Adib hilang dari van kerana ketika kejadian dia sedang mengawal kenderaan yang teranjak apabila dilanggar trak bomba.

Dalam masa yang sama beliau menahan pintu daripada dibuka perusuh.

“Kalau pintu saya cuba diceroboh oleh perusuh, untuk buka pintu saya dengan tujuan untuk memukul, mencederakan saya, tidak mustahil berlaku pada arwah Adib.

“Kita tengok kenderaan bomba diserang begitu teruk. Kalau dapat (anggota bomba), tentu dia akan lakukan benda yang sama pada anggota itu,” jawab Shahril terhadap pertanyaan pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah yang meminta dia menjelaskan kandungan laporan polisnya yang berbeza dengan keterangan kepada inkues hari ini dipetik FreeMalaysiaToday hari ini.

Shahril tidak dapat bayangkan sebab lain perusuh cuba membuka pintu kenderaan penyelamat, yang turun ke lokasi rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas untuk memadam api kenderaan-kenderaan yang terbakar.

Shahril menyorot perhatian inkues kepada dua topi keledar yang ditemui dalam van EMRS ketika di balai polis selepas berjaya melepaskan diri daripada kumpulan perusuh.

“Saya nampak dua buah helmet dalam kenderaan. Saya tanya (seorang anggota bomba) Muhammad Hazim Rahimi di mana Adib. Dia cakap tak tahu dalam keadaan muka pucat dan cemas,” katanya.

Terdahulu, Shahril berkata, beliau terkejut melihat Hazim yang pergi ke kuil Seafield menaiki trak bomba, berada di bahagian belakang vannya selepas mereka berjaya melepaskan diri.

Difahamkan seramai 30 saksi akan dipanggil dalam inkues itu yang dijangka berlangsung selama 52 hari.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan