Raggie Jessy Rithaudeen
Raggie Jessy Rithaudeen

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta tidak melengah-lengahkan masa untuk mengumumkan keputusan siasatan berhubung dana RM90 juta yang didakwa diterima oleh Pas daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Gesaan itu dibuat oleh Raggie Jessy Rithaudeen, Ketua Kumpulan Penggerak The Third Force susulan laporan sebuah portal yang melaporkan SPRM tidak menemui dana dari 1MDB yang disalurkan dalam akaun parti berkenaan.

Menurutnya, sekiranya benar apa yang dilaporkan itu, SPRM perlu menyiasat Datuk Ambiga Sreenevasan di bawah Seksyen 52 (a) untuk memastikan sama ada beliau mempunyai bukti bahawa mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyogok pemimpin-pemimpin Pas.

Selain itu, menyiasat kebenaran kenyataan yang terkandung dalam kenyataan pembelaan dan tuntutan balas yang difailkan oleh peguam Clare Rewcastle Brown di Mahkhamah Tinggi London pada 11 Oktober 2017.

Ini kerana, Ambiga adalah individu yang menceritakan kepada Clare kononnya Najib menyogok pemimpin-pemimpin Pas dengan wang sejumlah RM90 juta.

“Dakwaan tersebut jelas terkandung di dalam satu rakaman sahih perbualan di antara Clare dan Ambiga yang sudahpun diberikan secara rasmi kepada unit perisik Cawangan Khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

“Untuk makluman, rakaman tersebut turut dimiliki oleh pihak SPRM yang sudah lama mengetahui bahawa Ambiga menipu berkenaan pembayaran RM90 juta tersebut sehingga menggangu-gugat keharmonian politik negara dan masyarakat umum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raggie berkata, satu laporan kepada SPRM telah dibuat olehnya terhadap Ambiga pada 7 Febuari lalu berhubung kes saman fitnah Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Clare.

Dalam laporan tersebut, Raggie telah meminta pihak SPRM mengunakan kuasa sepenuhnya yang diberikan kepada suruhanjaya tersebut di bawah Perlembagaan Persekutuan dan MACC Act 2009 untuk memaksa Ambiga menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan.

“Memandangkan Malaysiakini telah memetik seorang pegawai SPRM sebagai berkata bahawa tiada kemasukkan wang RM90 juta dari 1MDB ke dalam akaun Pas, SPRM wajib mengeluarkan kenyataan media dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang bentuk keraguan ataupun kemusykilan dalam kalangan rakyat jelata.

“SPRM perlu mengisytiharkan dua perkara, iaitu kesahihan dakwaan yang terkandung dalam penerbitan Malaysiakini dan juga keputusan penyiasatan badan tersebut terhadap Ambiga.

“Kenyataan tersebut amat perlu bagi membantu pihak polis melakukan siasatan berdasarkan laporan susulan yang telah saya buat terhadap Ambiga pada 9 Febuari 2019 di Ibu Pejabat Polis di Subang Jaya, Selangor.

“Saya sedang menunggu keputusan siasatan terhadap Ambiga oleh pihak SPRM dan berhak mengetahui segala apa tindakkan yang bakal dikenakan terhadapnya memandangkan sayalah yang membuat laporan terhadapnya,” ujar Raggie. – MalaysiaGazette