SPRM buka bilik gerakan sepanjang PRK DUN Semenyih
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tidak ada dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke dalam akaun bank milik parti Pas.

Ia merupakan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat akaun bank PAS selepas parti itu didakwa menerima RM90 juta daripada UMNO.

“Tiada kemasukan wang RM90 juta dari 1MDB ke akaun (rasmi) Pas,” kata sumber yang dipetik oleh Malaysiakini.

Sumber juga mengesahkan bahawa akaun yang diteliti adalah akaun yang didaftar di bawah nama parti itu dan bukannya akaun peribadi pemimpin Pas.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada SPRM sudah selesai meneliti akaun peribadi pemimpin Pas yang dikaitkan dalam siasatan yang dilancarkan suruhanjaya itu enam hari lalu.

Siasatan berhubung isu itu dibuat oleh SPRM selepas menerima laporan orang ramai.

Ia susulan keputusan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersetuju untuk menyelesaikan kes saman fitnah terhadap Sarawak Report di luar mahkamah.

Pas telah menyaman laporan portal Sarawak Report pada 2016 yang mendakwa parti menerima dana RM90 juta daripada UMNO sebagai balasan kepada sokongan yang diberikan kepada parti berkenaan. – MalaysiaGazette