Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dijangka menyertai pasukan Mahkamah Koroner untuk melawat lokasi kejadian di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Seafields Subang Jaya pagi ini.

SUBANG JAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dijangka menyertai pasukan Mahkamah Koroner untuk melawat lokasi kejadian di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Seafields Subang Jaya pagi ini.

Zuraida yang tiba kira-kira pukul 10 pagi di Mahkamah Shah Alam akan bersama-sama mengadakan lawatan turut disertai oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Azmi Osman.

Lawatan diketuai Hakim Rofiah Mohamad yang bertindak sebagai Koroner sudah bergerak dari Kompleks Mahkamah Shah Alam jam 10.45 tadi.

Kumpulan ini juga akan melihat jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang terlibat dalam insiden tersebut.

Para media turut difahamkan yang akan turut serta ke lawatan nanti ialah Timbalan Pendakwa Raya selaku Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah, Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim Hamzah.

Selain itu, turut serta pihak-pihak berkepentingan termasuk barisan peguam keluarga Muhammad Adib Mohd. Kasim, peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JPBM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(Suhakam) dan Majlis Peguam.

Allayarham Muhammad Adib yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember lalu cedera parah selepas dilaporkan dipukul dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman 27 November lalu.

Selepas kecederaan parah itu, Muhammad Adib dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira 1 pagi, sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya.

Bagaimanapun, Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di IJN pada jam 9.41 malam, 17 Disember lalu. – MalaysiaGazette