Lapangan terbang Belgium akan ditutup kerana kakitangan melancarkan mogok. foto Agensi

BRUSSELS – Semua penerbangan masuk dan keluar Belgium dibatalkan sehari berikutan mogok oleh tiga kesatuan.

Tempoh pembatalan penerbangan berlangsung selama 24 jam mulai pukul 10 malam (21:00 GMT) pada hari Selasa.

Mogok sehari itu dilakukan kerana tidak puas hati dengan kenaikan gaji yang dihadkan kepada 0.8 peratus bagi tempoh dua tahun akan datang.

Kesatuan-kesatuan sekerja mendesak kenaikan gaji, faedah dan pencen yang didakwa diperlukan dalam kehidupan, selain menambah baik keseimbangan kehidupan bekerja.

Agensi trafik udara Skeyes berkata, penangguhan penerbangan itu disebabkan tidak dapat dipastikan jumlah kakitangan yang bekerja dalam bilangannya yang terhad.

“Kakitangan Skeyes tidak mengisytihar sama ada untuk bekerja atau tidak semasa berlangsung tindakan kesatuan.

“Enam jam sebelum bermula mogok, syarikat masih tidak tahu jumlah kakitangan yang boleh bekerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Disebabkan tanggungjawabnya memastikan jaminan keselamatan, satu-satu langkah terbaik adalah tidak membenarkan berlakunya trafik udara.

Banyak syarikat penerbangan juga sudah membatal atau menjadualkan semua penerbangan berikutan jangkaan berlaku gangguan sepanjang berlangsung mogok.

Mogok itu akan memberi kesan terhad ke atas penerbangan-penerbangan melalui ruang udara Belgium memandangkan Skeyes hanya bertanggungjawab kepada trafik sehingga ketinggian 7,500 meter sahaja.

Trafik melepasi ketinggian itu akan diselaraskan dengan bantuan Eurocontrol, yang akan dinasihatkan mengenai laluan bagi mengelakkan ruang udara Belgium.

Namun, ia tidak menjejaskan penerbangan kerajaan dan tentera. – MalaysiaGazette