SEMENYIH – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu kehadirannya ke pasaraya Tesco di sini untuk mendengar masalah rakyat.
Selain itu, ia atas undangan pimpinan UMNO Bahagian Semenyih sendiri.
Menurutnya, berdasarkan pertemuan beliau dengan pengunjung-pengunjung pasaraya berkenaan, rata-rata mereka mengeluh mengenai kenaikan harga barang.
“Ya, ramai yang kata harga barang meningkat dan mereka mengeluh mengenainya,” katanya kepada media ketika ditemui selepas melakukan kunjungan ramah mesra itu malam ini.
Najib tidak menyangka kehadirannya disambut begitu ramai penduduk Semenyih dan berasa terharu.
Ditanya sama ada beliau akan datang semula semula semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, Najib menjawab; “Insya Allah kalau diundang saya akan datang.”
Beliau berharap sambutan terhadapnya dapat diterjemahkan kepada sokongan undi semasa PRK nanti.
Terdahulu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tiba di pasaraya berkenaan kira-kira pukul 8.30 malam dan disambut lebih 500 pengunjung yang telah menunggu sejak pukul 7 malam.
Ketika beliau melakukan tinjauan di dalam pasaraya yang sama, pengunjung tidak putus-putus melaungkan slogan “Malu Apa Bossku” yang sinonim dengan Najib.
Najib meluangkan masa kira-kira 1 jam 30 minit dan beliau sempat minum secawan teh tarik di sebuah restoran mamak bersebelahan pasaraya berkenaan.
Beliau sempat berseloroh beliau adalah ‘pencuri hati rakyat’ merujuk komen Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepadanya baru-baru ini sebagai ‘pencuriku’.
PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.
Serentak itu, SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 16 Februari, manakala mengundi awal 26 Februari dan hari mengundi biasa pada 2 Mac ini. – MalaysiaGazette