Ubaid Abd Akla
Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Ubaid Abd Akla (tengah) menujukkan laporan polis di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto NIZAM ZAIN

KUALA LUMPURĀ – Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis mendesak agar pihak berkuasa menyiasat dakwaan bahawa DAP menerima dana asing.

Naib Ketuanya, Ubaid Abd Akla berkata, dakwaan penyaluran dana asing khususnya Israel itu dipercayai bagi membiayai kerja-kerja politik DAP yang boleh mengancam kedaulatan dan keselamatan negara.

“Pastinya mereka yang memberi sumber tersebut mempunyai agenda tersendiri.

“Laporan ini secara serentak dibuat oleh seluruh Dewan Pemuda Pas di seluruh negeri. Dalam laporan itu kita hanya menamakan DAP.

“Walaupun isu sudah lama tersebar namun tiada tindakan diambil oleh individu-individu yang mendedahkan salah laku DAP itu,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Antara dakwaan serius sebelum ini adalah pendedahan bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Mohamad Razali Abdul Rahman bahawa DAP mengambil wang rasuah RM300 juta dari Israel.

Ubaid juga berkata, pendedahan salah laku DAP bukan perkara baru bahkan banyak pihak telah membuat dakwaan serius mengenai penyaluran dana kepada DAP bagi membiayai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Sebelum ini bekas pegawai Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Kapten (B) Abdul Rahman Omar Tun Mohd Hanif telah membuat laporan kepada pengasas MalaysiaKini Pramesh Chandran dan Red Bean Army DAP dengan mendakwa menerima dana daripada Open Society Foundation (OSF) milik George Soros.

“Kita juga menerima laporan daripada bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mendakwa DAP menerima dana negara luar bagi membiayai pilihan raya baru-baru ini

“Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining sendiri secara terbuka dalam media antarabangsa menyatakan pihaknya memberi dana kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 yang lalu juga perlu disiasat,” katanya lagi.

Beliau menegaskan desakannya itu tiada kaitan dengan fitnah Pas menerima RM90 juta daripada UMNO.

“Saya rasa itu isu lain, (laporan polis) ini adalah rentetan semalam di mana Tuan Guru Presiden kami sebut DAP pun terima dana ini, jadi kenapa tak siasat DAP,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi dalam satu sidang medianya dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti PAKR Sungai Kerak, Marang meminta SPRM menyiasat parti komponen PH yang didakwa menerima dana asing.

“Cumanya kita minta SPRM juga siasat DAP, siasat PAN, siasat PKR, jangan siasat Pas saja, dari mana mereka dapat duit, itu perlu.

“Saya dimaklumkan Pemuda Pas buat laporan mengenai ini tentang pembiayaan DAP termasuk PAN dan kita harap SPRM akan masuk (siasat).

“Kita beri kerjasama, kita tunggu kenyataan SPRM itu (siasatan Pas terima RM90 juta),” kata Abdul Hadi. – MalaysiaGazette