Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap pada Ceramah Umum Bersama Calon PAS sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Padang Koboi Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 30 SEPTEMBER 2018.
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketuk kepala apabila melihat sendiri lif di ibu pejabat Pas tidak berfungsi.

Presiden Pas itu berkata, kejadian itu berlaku semasa pegawai-pegawai SPRM menjalankan siasatan berhubung dana RM90 juta yang didakwa diterima oleh parti itu daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“SPRM dah siasat, dah masuk. SPRM dah tengok. Dia pergi ibu pejabat Pas. Dia tengok lif pejabat Pas pun rosak, nak siasat RM90 juta, nak naik lif pun tak boleh. Rosak lif tu. SPRM tengok pun ketuk kepala,” katanya.

Pada sidang media itu, Abdul Hadi berkata, tidak ada keperluan untuk Sarawak Report menarik balik artikel yang mengaitkan parti itu menerima RM90 juta daripada UMNO.

“Artikel itu tarik balik macam mana? Orang baca habis dah. Tarik pun orang dah baca. Apa makna tarik?” tambahnya.

Abdul Hadi berkata, parti itu tidak tergugat meskipun editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown masih membangkitkan isu berkenaan.

Katanya, Clare tidak mengancamnya tetapi yang membuat ancaman daripada akhbar Amanah (Parti Amanah Negara).

Berhubung tuduhan Clare Pas menerima dana sebanyak RM2.5 juta daripada UMNO, Abdul Hadi berkata, parti itu akan menjawab tuduhan di mahkamah.

Wang sebanyak RM2.5 juta itu adalah sebahagian daripada dana sebanyak RM90 juta yang didakwa diterima Pas.

Presiden Pas itu mendakwa tuduhan Clare itu semata-mata untuk melemahkan Pas pada pilihan raya lalu namun terbukti pasti tersebut sudah menang.

“Kita dah menang, di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” ujarnya. – MalaysiaGazette