Uqasha Senrose.

KUALA LUMPUR – Pelakon Uqasha Senrose berpendapat dia bukan individu yang layak menasihati rakan seperjuangannya, Emma Maembong yang dihimpit isu membuka tudung baru-baru ini.

Uqasha, 26, menjelaskan, ini kerana Emma mampu berdepan apa jua cabaran yang dihadapi kerana dia  seorang wanita yang kuat.

Jelasnya, apa jua keputusan Emma, orang ramai perlu menghormatinya.

“Setiap keputusan yang dibuat Emma itu mesti ada sebab dan saya sebenarnya tidak layak untuk menasihatinya.

“Emma seorang wanita yang kuat dan saya percaya dia mampu berdepan dugaan dengan tabah selepas ini,” katanya.

Dia ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan C Clean Serum di Hotel Grand Millenium Kuala Lumpur semalam.

Uqasha mengakui menjadi lumrah dunia apabila manusia akan menuding jari terhadap kesalahan orang lain.

Dia turut menyifatkan tindakan netizien yang mengaitkan dia sebagai pencetus golongan selebriti membuka tudung adalah tidak masuk akal.

Pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen menegaskan, tindakan individu lain tiada kena mengena dengan dirinya.

MGF12022019_PELANCARAN PRODUK C CLEAN06
Uqasha Senrose semasa sesi fotografi selepas pada Majlis Pelancaran Produk C Clean di Hotel Grand Millennium, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 12 FEBRUARI 2019

“Saya menerima setiap nasihat, teguran dan pandangan orang sekeliling dengan hati terbuka.

“Sampai sekarang pun orang masih bercakap mengenai tindakan saya buka tudung. Tetapi demi kebaikan kita, saya terima,” katanya lagi.

Uqasha pernah mencetuskan kontroversi apabila bertindak nekad membuka tudung sekitar tahun 2016 selepas tiga tahun berhijab.

Terbaharu, Emma pula mencuri perhatian umum apabila bertindak sedemikian setelah lima tahun berhijab. – MalaysiaGazette