ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga saham di Bursa Malaysia ditutup kukuh hari ini, disokong oleh keyakinan bahawa hasil pendapatan korporat suku keempat 2018 akan lebih baik, selepas Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus bagi suku keempat 2018 dan setahun penuh, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,689.06, meningkat 3.76 mata berbanding 1,687.41 pada penutupan Selasa.

Indeks dibuka 0.32 mata lebih kukuh pada 1,687.73 dan bergerak antara 1,682.81 dan 1,689.06 di sepanjang hari.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pertumbuhan KDNK meningkat buat kali pertama sejak suku ketiga 2017, mengakhiri pertumbuhan perlahan empat suku berturut-turut.

Bagaimanapun, katanya Buletin Suku Tahunan Bank Negara Malaysia mengambil pendirian kadar faedah rendah dalam dasar monetari manakala Jawatankuasa Dasar Monetari berpendapat keseimbangan risiko cenderung ke bawah, yang menggambarkan prospek ekonomi yang mencabar pada 2019.

“Secara teknikalnya, FBM KLCI berada dalam zon neutral, menggambarkan indeks mungkin kekal rendah. Pasaran mungkin sedang menunggu pengumuman pendapatan korporat suku keempat 2018 menjelang akhir bulan ini,” katanya kepada Bernama.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing kekal pada RM9.55 dan RM5.78.

Public Bank susut dua sen kepada RM24.94, TNB turun empat sen kepada RM13.02 manakala Petronas Chemicals susut satu sen kepada RM8.47.

Bagi saham aktif, Sapura Energy naik tiga sen kepada 30.5 sen, Bumi Armada dan KNM masing-masing menambah dua sen kepada 24.5 sen dan 11 sen, Hibiscus menambah 6.5 sen kepada RM1.06 dan Barakah meningkat setengah sen kepada 14.5 sen.

Jumlah dagangan positif dengan 463 kaunter untung dan 359 kaunter rugi manakala 381 tidak berubah, 650 tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.88 bilion unit bernilai RM2.28 bilion berbanding 2.63 bilion unit bernilai RM1.87 bilion pada Rabu.

Indeks FBM Emas meningkat 31.271 mata kepada 11,745.57, Indeks FBMT 100 naik 28.01 mata kepada 11,606.41 manakala Indeks FBM Emas Shariah melonjak 47.01 mata kepada 11,624.21.

FBM 70 meningkat 42.62 mata kepada 13,986.84 manakala Indeks FBM Ace turun 6.46 mata kepada 4,640.86.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 10.09 mata kepada 17,719.56, Indeks Perladangan susut 10.44 mata kepada 7,288.07 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.26 mata kepada 162.73.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.09 bilion saham bernilai RM2.11 bilion berbanding 1.88 bilion saham bernilai RM1.7 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 497.67 juta unit bernilai RM108.6 juta berbanding 477.65 juta unit bernilai RM110.55 juta yang diurus niaga semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 293.46 juta saham bernilai RM61.14 juta berbanding 269.16 juta saham bernilai RM61.34 juta pada Rabu.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 239.75 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (384.43 juta), pembinaan (127.61 juta), teknologi (299.23 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (40.46 juta) 96.38 juta), perladangan (27.19 juta), REIT (8.76 juta), dana tertutup (101,200), tenaga (1.72 bilion), penjagaan kesihatan (21.58 juta), telekomunikasi dan media (65.89 juta) dan utiliti (24.06 juta). – MalaysiaGazette