Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong

ISKANDAR PUTERI – Cadangan untuk membawa pemansuhan hukuman mati ke Parlimen akan diputuskan oleh jemaah Kabinet sebelum Parlimen bersidang bulan hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata keputusan itu akan mengambil kira pendapat semua pihak yang berkenaan.

“Keputusan muktamad akan dibuat sebelum Parlimen bersidang. Kita ambil berat pandangan yang telah diberikan oleh semua pihak.

“Kita juga kena memahami perasaan daripada pihak anggota keluarga mangsa yang telah pun kehilangan insan kesayangan jadi ini kena ambil kira,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan kompleks mahkamah yang baharu di Kota Iskandar, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status terkini cadangan pemansuhan hukuman mati untuk semua akta.

“Kita kena tunggu keputusan daripada jemaah menteri sebab ini juga merupakan satu manifesto Pakatan Harapan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori daripada semua akta jadi inilah hasrat kerajaan baharu ini,” kata Liew.

Menurut beliau, pelbagai maklum balas telah diterima dan diambil kira termasuk daripada anggota keluarga mangsa yang dibunuh, banduan akhir, anggota keluarga banduan serta badan bukan kerajaan.

Parlimen dijangka bersidang 11 Mac ini.

Pada awal Oktober lepas, jemaah menteri memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan.

Susulan keputusan itu, semua pelaksanaan hukuman mati telah ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Selain itu, Kabinet turut mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun jika hukuman mati mandatori dimansuhkan.

— BERNAMA

RUU mansuh hukuman mati dibahas Mac

Tak adil bagi keluarga mangsa jika hukuman mati dimansuhkan

Anak Allahyahram Susilawati Mansuh Hukuman Mati | Edisi MG 19 NOV 2018