Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kiri) bercakap kepada media sambil diperhatikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (kanan) pada Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian di Kementerian Pendidikan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 14 FEBRUARI 2019.

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan enggan mengulas lanjut isu tunggakan hutang Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) bernilai RM1.4 juta. 

Menurut menterinya, Lim Guan Eng, meskipun KB1M diuruskan Institut Buku dan Terjemahan Malaysia (ITBM) yang merupakan anak syarikat di bawah Kementerian Kewangan (MoF) itu, namun ia dikendalikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Justeru tambahnya, isu itu tidak wajar diajukan kepadanya. 

“Arahan sudah tentu MOF kena luluskanlah. Ia  adalah anak syarikat MOF tetapi diuruskan KPM. 

“Jadi anda tanya kementerian yang salah. Bagi saya ia hanya (isu) penstrukturan semula,” katanya kepada pemberita. 

Terdahulu dalam sidang media, Guan Eng yang diminta menngulas isu itu berkata, beliau akan menyemak semula dakwaan tersebut sebelum mengubah pendiriannya kemudian. 

Beliau pada mulanya berkata, isu-isu pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) perlu diteliti. 

“Untuk soalan ini saya kena semak. Zaman dulu, zaman punya kita kena korek-korek,” ujarnya. 

Namun Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika ditanya perkara sama enggan mengulas.

Sebelum ini, portal The Malaysian Insight yang memetik penerbit-penerbit buku menagih hutang daripada KB1M dengan mendesak kerajaan menyelesaikan segera baki bayaran yang masih belum dijelaskan sejak tiga tahun lalu.

Menurut Jawatankuasa Khas Tuntutan Hutang KB1M, Kementerian Kewangan setakat ini tidak memberikan sebarang penyelesaian kepada isu tertunggak itu, sebaliknya hanya menjelaskan syarikat milik kerajaan, ITBM, masih menunggu dana RM1 juta daripada syarikat penerbitan MPH Group Malaysia Sdn Bhd (MPH) sebagai tanggungan hutang bersama.

Jawatankuasa itu disertai 17 syarikat penerbit buku yang mempunyai jumlah terkumpul hutang daripada KB1M sebanyak RM1.4 juta. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan