Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 27 Mac untuk membuat keputusan bagi permohonan ikat jamin dua remaja lelaki yang menghadapi pertuduhan membunuh ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Jassan pada Jun tahun lepas.

PUTRAJAYA – Seorang jurutera yang didapati bersalah membunuh teman wanitanya enam tahun lalu pada Hari Valentine terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan dia melakukan kesalahan itu dalam keadaan tidak siuman.

Hari ini, yang kebetulan adalah Hari Valentine, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Cheong Teik Keon untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati selepas memutuskan lelaki berusia 35 tahun itu telah membuktikan imbangan kebarangkalian bahawa dia tidak waras ketika melakukan kesalahan tersebut.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop yang mengetuai panel itu berkata Cheong melakukan kesalahan berkenaan tetapi ketika itu dia berada dalam keadaan tidak siuman dan tidak mampu mengetahui apa yang dilakukannya pada masa tersebut adalah salah atau bertentangan dengan undang-undang.

Beliau memerintahkan Cheong ditempatkan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Ipoh, Perak atas perkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

“Kami dapati perayu (Cheong) melakukan kesalahan itu. Bagaimanapun hakim gagal mempertimbang bahawa dia tidak siuman seperti mana peruntukan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan,” katanya.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Rohana Yusuf.

Cheong telah disabitkan dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi George Town pada Oktober 2016 selepas didapati bersalah membunuh Tan Ching Chin, 24, di Seberang Prai, Pulau Pinang pada 8.40 pagi pada 14 Feb 2013.

Beliau gagal dalam rayuannya selepas ditolak Mahkamah Rayuan pada Mei tahun lepas.

Berdasarkan kes pendakwaan, Cheong dan mangsa adalah pasangan kekasih dan pada hari kejadian, dia tinggal bersama-sama mangsa di rumah kekasihnya itu. Mayat mangsa ditemukan oleh pembantu rumah dan ibunya di dalam bilik air bersama-sama tertuduh, yang ketika itu sedang memegang kaki mangsa dan telah menikam perutnya sendiri.

Pengakuan Cheong adalah satu daripada tanda ketidakwarasannya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini mendengar keterangan saksi, seorang pakar psikiatri yang memberitahu Cheong menikam teman wanitanya tiga kali dan kemudian cuba membunuh diri dengan menikam dirinya empat kali supaya dia boleh bersatu semula dengannya di syurga.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata Cheong sebelum ini ditahan di penjara Tabah sambil menjalani perubatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan