Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh melihat keputusan  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menerima keahlian tujuh wakil rakyat UMNO sebagai satu kesilapan dan perkembangan yang menakutkan.

Dalam kenyataannya, Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP itu juga merumuskan keputusan Bersatu itu sebagai bertentangan dengan apa yang rakyat telah pilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lepas.

Katanya, hampir separuh daripada Bersatu sekarang ini adalah wakil-wakil rakyat UMNO sebelum PRU14, dan kemungkinan kelak parti itu dianggotai majoriti ahli Parlimen dari UMNO adalah sesuatu yang menakutkan.

Beliau turut merujuk kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mewajarkan penerimaan masuk ketujuh-tujuh bekas wakil rakyat UMNO itu ke  dalam PPBM.

Katanya, kenyataan Dr Mahathir bahawa ‘siapa mereka sekarang ini lebih penting’ itu menimbulkan persoalan iaitu ‘siapa mereka sekarang ini?

“Tiada bukti mutlak bahawa mana-mana daripada wakil rakyat UMNO ini telah bertaubat daripada bersubahat dalam rejim UMNO, begitu juga tidak ada dalam kalangan mereka yang secara terbuka mengkritik kerajaan kleptokrat terdahulu.

“Bagi saya tidak ada bezanya mereka dahulu dan sekarang,” katanya.

Ramparkal turut mengimbau kenyataan salah seorang wakil rakyat yang diterima masuk iaitu Syabudin Yahya (Tasek Gelugor) yang secara terbuka melontarkan pandangannya bahawa beliau terbuka kepada idea seorang wanita mengahwini lelaki yang merogolnya.

Katanya, menerima masuk seseorang seperti itu ke dalam Pakatan Harapan adalah sesuatu yang amat sukar dibayangkan kerana tindakan seperti itu memberi gambaran bahawa pelan reformasi yang dibawa oleh kerajaan sekarang ini langsung tidak dihormati.

“Saya telah katakan sebelum ini, sudah tiba masanya undang-undang anti lompat parti digubal tetapi penerimaan masuk katak-katak ke dalam PH dengan tangan terbuka kebelakangan ini menunjukkan harapan tersebut hanya tinggal harapan,” katanya.

Katanya, jaminan Dr Mahathir bahawa kesemua wakil rakyat UMNO itu telah disaring juga tidak boleh meyakinkan rakyat bahawa mereka telah bersih berbanding sembilan bulan lalu.

“Kedudukan sebenar adalah rakyat terus skeptikal kerana wakil rakyat inilah satu ketika dulu menentang pendirian PH sekarang ini,”  katanya.

Ramkarpal turut menegaskan bahawa amalan lompat parti sama sekali tidak boleh diterima dalam demokrasi kerana ia mengkhianati kemahuan rakyat dan perkara tersebut amat penting ketika menimbangkan untuk menerima ‘katak-katak’ masuk ke dalam PH.

Isu lompat parti turut mendapat perhatian Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu semalam. Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh Pengerusi Bersatu itu jelas bertentangan dengan apa yang pernah dilafazkan olehnya sebelum ini.

“Suatu ketika dahulu saya menulis mengenai bagaimana sebelum PRU-14, Mahathir memberitahu sekumpulan aktivis dan NGO yang beliau tidak akan menerima ‘katak-katak’ UMNO.

“Saya tahu kerana saya berada di sana. Saya mendengarnya dengan telinga saya sendiri dan saya percaya kepadanya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Ronnie berkata, apa yang dikatakan oleh Mahathir ketika itu kini sudah menjadi sebaliknya apabila beliau akhirnya menerima ahli Parlimen yang keluar UMNO selepas PRU-14.

Semalam, Bersatu mengumumkan menerima tujuh ahli Parlimen UMNO ke dalam parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsuddin, Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Abdul Latiff Ahmad (Mersing) Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam). – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: 

Tujuh ahli UMNO akhirnya diterima masuk Bersatu

TERKINI : UPACARA LOMPAT PARTI! Tujuh Ahli Parlimen Masuk PPBM

Tun M terima ‘sampah’ masuk Bersatu