Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 28 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menggesa semua pihak terlibat dalam isu Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield USJ 25, Subang Jaya, supaya menghormati dan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang membatalkan saman difailkan 50 penganut agama Hindu untuk menghalang pemindahan kuil tersebut dari tapaknya.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata ini adalah bagi menjamin ketenteraman awam dan keluhuran undang-undang.

“Kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi mematuhi dan melaksanakan keputusan penghakiman serta akan mengambil segala langkah yang perlu bagi menjamin kesentosaan negeri Selangor Darul Ehsan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang menolak dengan kos permohonan injunksi interlokutari oleh 50 penganut agama Hindu di kuil berkenaan untuk menghalang One City Development Sdn Bhd, pemilik dan pemaju tapak kuil, daripada memasuki kawasan itu bagi tujuan perobohan.

Hakim Wong Kian Kheong membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa plaintif tidak mempunyai justifikasi yang wajar untuk tindakan terhadap pemaju dan tidak mempunyai “locus standi” di bawah Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan 1966 untuk memulakan tindakan saman.

Isu pemindahan kuil tersebut telah mencetuskan rusuhan pada 26 dan 27 Nov tahun lepas, berhampiran kuil. Seorang anggota bomba, Muhamad Adib Mohd Kassim, cedera parah sementara beberapa orang lain turut cedera, 23 kenderaan dibakar dan sebahagian One City Mall mengalami kerosakan dalam rusuhan itu.

Muhamad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis.

— BERNAMA