Gambar Datuk Seri Najib bersama Tun Rahah dan Datuk Johari semasa hari konvokesyen beliau

KUALA LUMPUR – Di saat ramai pemimpin Pakatan Harapan dipalit kontroversi ijazah palsu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan bangga menukar gambar profil di laman Facebooknya kepada foto di hari konvokesyen beliau pada 1974.

Malah beliau memuat sekeping lagi foto bersama ibunya, Tun Rahah dan adiknya, Datuk Johari Tun Abdul Razak.

“Agak old school tapi inilah foto dari majlis graduasi saya pada tahun 1974.

“Saya turut bergambar bersama bonda, Tun Rahah dan adik saya Johari.

“Masa itu, saya tampak cool sebab trend masa itu di England memang berambut panjang.

“Ok, saya mengaku saya juga terpengaruh masa itu,” katanya di dalam kapsyen gambar tersebut tanpa meninggalkan #MaluApaBossku.

Menurut Najib, beliau berterima kasih kepada anaknya bongsunya, NoorAshman Najib kerana sanggup menghabiskan masa hampir satu jam untuk mencari gambar-gambar yang sudah berusia 45 tahun itu di kediaman Rahah.

“Kalau DAP masih tak percaya dan ingin fitnah saya lagi, boleh pinjam mesin masa kawan Menteri Kewayangan untuk balik ke tahun 1974 cari saya,” katanya lagi.

Najib merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Industri dari Universiti Nottingham, United Kingdom.-MalaysiaGazette