Kelengkapan operasi angggota bomba, Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim '17476' kini menjadi kenangan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Balai Bomba Subang Jaya, foto IQBAL BASRI, 19 DISEMBER 2018
SHAH ALAM – Seorang anggota bomba memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa beliau tidak nampak arwah Muhammad Adib Mohd Kassim turun dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika kejadian serangan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, tahun lepas.

Mohd Hazim Mohd Rahimi, 31, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya berkata beliau yang terpaksa menyembunyikan diri di dalam van EMRS di bahagian belakang tidak nampak kelibat arwah Muhammad Adib ketika serangan itu berlaku.

“Saya dikejar oleh seorang lelaki berbadan gempal sebelum saya menyembunyikan diri di dalam van EMRS bahagian belakang berdekatan pengusung.

“Saya menaiki jentera Fire Rescue Tender (FRT) ke lokasi kejadian…sejurus sampai di lokasi kejadian, saya ada nampak jentera FRT diserbu sekumpulan perusuh…seorang daripada mereka mula mengejar saya.

“Dia tak pegang apa-apa senjata. Saya terus masuk ke dalam van dan bersembunyi berdekatan pengusung. Saya tidak nampak kelibat arwah Muhammad Adib ketika saya berada dalam van itu. Pemandu van EMRS Ahmad Shahrill Othman pun hanya sedar saya berada di dalam van selepas sampai di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya,” katanya sambil menambah tiada sebarang komunikasi di antara beliau dan pemandu van ketika dalam perjalanan ke IPD Subang Jaya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah yang juga pegawai pengendali inkues itu pada pendengaran hari keempat inkues bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib.

Menjelaskan keadaan di lokasi berkenaan, Mohd Hazim berkata beliau ada nampak beberapa perusuh memegang batang besi, pedang samurai, kayu, batu dan topi keledar.

Hamdan: Ada kamu nampak Adib di bahagian depan van

Mohd Hazim: Tak nampak

Menjawab soalan peguam Yahaya Othman yang mewakili keluarga arwah, saksi keenam itu berkata beliau tidak tahu kenapa Adib cedera.

Yahaya: Kamu kata, anggota bomba bernama Rosaidi ada membuat panggilan kepada arwah dan panggilan itu dijawab orang awam dan memberitahu arwah dibawa ke Hospital SJMC. Adakah mereka cakap kenapa Adib cedera

Mohd Hazim: Tidak cakap.

Sementara itu, ketika ditanya peguam Kamaruzaman Abdul Wahab yang turut mewakili keluarga arwah sama ada saksi itu nampak pintu sebelah tempat duduk arwah dibuka

Mohd Hazim menjawab: “Saya tak nampak arwah, saya mesti nampak kalau dia keluar sebab kami pakai seluar celoreng iaitu pakaian seragam.

Kamaruzaman: Kenapa tak lari ke kawasan lain untuk sembunyi

Mohd Hazim: Saya rasa lebih selamat jika masuk ke dalam van.

Ketika menjawab soalan peguam pemerhati Syazlin Mansor bagi pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Bomba, saksi itu berkata beliau yang ketika itu berada di bahagian belakang van itu tidak boleh nampak siapa ada di bahagian depan van EMRS kerana terdapat penghadang di dalam van berkenaan.

“Ada penghadang di dalam van berkenaan. Tapi ada satu ruang dalam van bersaiz A4, yang kita boleh nampak siapa duduk di hadapan. Tapi dalam keadaan kelam-kabut, memang saya tak tengok,” kata saksi itu.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung petang ini.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan