Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Seorang lelaki yang dipercayai menetak seorang warga Australia pada Januari lepas, ditahan di sebuah rumah di Kampung Saga, Likas, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Dzulbaharin Ismail berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira 1 petang selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.

Lelaki terbabit cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap di dalam sebuah rumah tidak bernombor dan berlaku pergelutan antara pihak polis dan suspek, katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku menetak mangsa berpunca daripada salah faham.

Suspek akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang, 24 Januari lalu, seorang lelaki warga Australia berusia 46 tahun ditemui berlumuran darah di Kampung Kiwoi, Tamparuli. – Bernama