Andry Suhermanto
Ketua Pegawai Eksekutif, Andry Suhermanto (dua kiri) bercakap pada sidang media Penjenamaan Semula Fareeda dan Pencarian Wajah Baru Fareeda di Kilang Kilang Fareeda Group Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 15 FEBRUARI 2019

BANGI – Selepas 12 tahun dalam industri tudung Pengeluar tudung terkenal, Fareeda memberikan nafas baharu kepada jenamanya dengan menukar nama kepada FRDA By FAREEDA.

Bukan sahaja jenama yang baharu, koleksi untuk tahun ini dengan objektif meraih pengguna daripada pelbagai lapisan umur khususnya dari kalangan wanita muda.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FRDA By FAREEDA yang baharu, Andry Suhermanto sasaran jualan 10 koleksi baharu tudung itu sehingga pertengahan tahun ini adalah RM3 juta.

“Kita menjangkakan setengah tahun pertama ini untuk beberapa juta mungkin RM3 juta sehingga raya sebab raya permintaan akan tinggi,” katanya ketika sidang media.

Tujuan penjenamaan ini, kata beliau, sesuai dengan perkembangan semasa agar tudung FAREEDA sentiasa relevan dan terus mengukuhkan perniagaan.

MGF15022019_PENJENAMAAN SEMULA FAREEDA14
Logo Fareeda pada sidang media Penjenamaan Semula Fareeda dan Pencarian Wajah Baru Fareeda di Kilang Kilang Fareeda Group Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 15 FEBRUARI 2019

Menurut Andry, pada tahun ini FRDA By FAREEDA akan membawa koleksinya ke pasaran global, buat permulaan di dua buah negara iaitu Brunei dan Kazakhstan.

Dengan tagline terbaru ‘Hatiku Tertawan’, menurut Andry, kesemua koleksi baharu tudung FRDA By FAREEDA berunsurkan urban seperti kemudahan cangkuk tanpa kerongsang yang pertama dalam dunia, ‘pinless’ dan tudung untuk ‘si pengembara’ yang tidak memerlukan teknik gosokan.

Meskipun mengekalkan dutanya Mawar Abdul Karim, selepas penjenamaan baharu ini pengeluar tudung nombor satu Malaysia itu akan menggunakan lebih ramai model yang terdiri daripada ‘instafamous’ dan ‘influencer’.

Bermula minggu depan FRDA By FAREEDA akan mengadakan pemilihan model yang sesuai dan sesi itu akan berlangsung selama sebulan.

Sejak 12 tahun lalu FRDA By FAREEDA metelah mengeluarkan 100 koleksi dan tahun ini sahaja sebanyak 10 jenis tudung bakal dilancarkan. -MalaysiaGazette