Dr. Sheikh Muszaphar Shukor bercakap pada program Meet Manchester United Lagends ke Aladdin Group di Menara MBMR, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 09 MAC 2018

KUALA LUMPUR – “Not like a ball but more to an egg.”

Itu gambaran bekas angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor mengenai bentuk sfera bumi yang bulat seakan-akan telur.

“Hati ini terdetik untuk menjawab desas desus mengenai persoalan di atas (bentuk bumi).

“Sebagai Angkasawan Islam yang ke sembilan menerokai angkasa lepas adalah menjadi tanggungjawab untuk diri ini menceritakan fakta sebenar,” katanya dalam media sosialnya hari ini.

Sebelum ini, bekas kumpulan nasyid In Team, Suhaimi Saad menimbulkan kontroversi apabila mencabar Sheikh Muszaphar bersumpah dengan nama Allah bahawa bumi ini berbentuk sfera.

Dalam pada itu, Sheik Muszaphar juga menceritakan pengalamannya mendengar laungan azan dan terpegun dengan ciptaan Allah melihat bumi di depan mata.

“Melihat bumi dengan mata sendiri degupan jantung berhenti seketika. Meremang bulu roma, mata tidak terkebil melihat kebesaran Maha Pencipta. Amat sukar untuk digambarkan suasana di angkasa lepas,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, adalah sukar untuk mengubah pandangan pihak yang mendakwa bumi ini berbentuk datar namun beliau menyatakan pandangannya sendiri dengan nama Allah.

Beliau berkata, setiap manusia sekiranya mampu wajar meneroka angkasa lepas dan melihat sendiri kebesaran tuhan itu.- MalaysiaGazette