Muhammad Khalil
Muhammad Khalil

KUALA LUMPUR – Apa motif DAP apabila memberitahu kepada umum lawatan pegawai polis ke Turki dibiayai sebuah syarikat judi terkenal, Da Mai Cai?

Sedangkan, pada masa sama, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak tahu menahu tajaan itu datang dari syarikat judi.

Menurut Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi, pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu sangat mengejutkan.

Katanya, DPPM mengalu-alukan usaha murni polis melawat Turki bagi mempelajari selok-belok untuk membanteras kegiatan perjudian atas talian.

Lebih dari itu, jelas beliau, Dewan Pemuda Pas berharap semua kegiatan judi sama ada berlesen atau tidak, atas talian atau luar talian dihapuskan sama sekali di negara ini.

“Isu penajaan lawatan pegawai atasan polis ke Turki untuk mempelajari kaedah membanteras judi atas talian seharusnya tidak timbul, apatah diperbesarkan.

“Ia sepatutnya boleh diselesaikan secara dalaman oleh Kementerian Kewangan memandangkan Lembaga Totalisator adalah sebuah agensi di bawah kementerian itu,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Kelmarin, Guan Eng mendakwa kementeriannya tidak menanggung kos lawatan kerja pegawai polis yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki.

Sebaliknya, kata beliau, rombongan itu ditaja oleh syarikat perjudian, Da Ma Cai, manakala Muhyiddin pula mendakwa ia dibiayai Lembaga Totalisator Malaysia, iaitu sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil menyifatkan tindakan Guan Eng memberitahu kepada umum itu seolah mahu memperlekehkan dan memusnahkan martabat serta integriti polis.

“Terutama di kalangan rakyat dengan mendedahkan bahawa polis menerima tajaan Da Ma Cai. Sepatutnya Guan Eng sendiri boleh menyelesaikan isu ini dengan tidak menerima tajaan tersebut dan meluluskan peruntukan di bawah Kementerian Kewangan.

“Menjadi persoalan mengapa Guan Eng tidak bertindak, sedangkan agensi tersebut di bawah kementeriannya.

“Ini menggambarkan seperti ada ‘hubungan istimewa’ antara Da Ma Cai dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Ia juga katanya, secara tidak langsung menunjukkan kegiatan perjudian dan industri dosa akan terus subur di negara ini disebabkan adanya ‘hubungan istimewa’ tersebut jika benar ia berlaku.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda Pas Malaysia mendesak Guan Eng memohon maaf kepada umat Islam di Malaysia dan khususnya polis kerana dengan meluluskan tajaan Da Ma Cai itu beliau telah memalukan institusi penguatkuasaan yang berlambangkan nama Allah dan Muhammad.

“Guan Eng harus bertanggungjawab kerana Lembaga Totalisator terletak di bawah bidang kuasa beliau.

“Kita juga mendesak Kementerian Kewangan mengembalikan semula dana Da Ma Cai yang telah digunakan untuk membiayai rombongan pegawai polis dalam tempoh seminggu.

“Sekiranya Guan Eng bertanggungjawab dan berintegriti, beliau wajar menggunakan peruntukan dari Kementerian Kewangan untuk kegunaan pagawai atasan polis untuk lawatan kerja ke Turki,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.