petrol
Buat masa ini RON95 kekal pada RM2.08 seliter

KUALA LUMPUR- Harga runcit petrol bagi RON97 dan RON95 masing-masing naik satu sen bagi tempoh 16 Februari sehingga 22 Februari, kenaikan sebanyak dua kali untuk RON 95 dan RON 97 sejak 1 Februari lalu.

Menurut Kementerian Kewangan, harga diesel bagi tempoh tersebut dikekalkan kepada RM2.18 seliter sejak awal bulan ini.

“Harga purata produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia telah meningkat berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada US$62 setong kepada US$63 setong bagi petrol RON95 dan daripada US$73 setong kepada US$74 setong
bagi diesel.

“Peningkatan harga pasaran global ini telah menyebabkan kenaikan harga runcit bagi produk petrol dan diesel.

“Namun, harga runcit petrol RON95 masih lagi di bawah paras penstabilan harga yang dijanjikan oleh kerajaan iaitu RM2.20 seliter,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi produk diesel, peningkatan harga pasaran ini menyebabkan harga runcit produk diesel sepatutnya naik sebanyak 1 sen seliter berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, menjadikan harga pasaran sebenar sebanyak RM2.20 seliter.

Kenaikan minimUM bagi kedua-dua produk ini juga didorong oleh faktor pengukuhan nilai Ringgit berbanding Dollar Amerika Syarikat (USD), kata kenyataan itu lagi.

“Walau bagaimanapun, selaras dengan janji Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit diesel pada paras RM2.18 seliter, harga runcit diesel bagi tempoh 16 Februari 2019 sehingga 22 Februari 2019 adalah dikekalkan pada paras RM2.18 seliter dan bukannya RM2.20 seliter,” ujarnya. – MalaysiaGazette