KAJANG – Persiapan bagi menghadapi proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sudah berada di tahap optimum.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, kesiapsiagaan badan itu kini berada pada tahap 100 peratus dan bersedia bagi menghadapi PRK kali empat Selangor.

“Sudah 100 peratus siap termasuk logistik dan keselamatan selain sebaik 992 petugas SPR akan menjalankan tanggungjawab sepanjang PRK ini” katanya kepada media hari ini.

Kesemua 992 petugas itu katanya akan ditempatkan di Semenyih sepanjang proses pilihan raya diadakan sehingga 2 Mac depan.

MGF15022019_Pusat Penamaan Calon N24 Semenyih_02
Kelihatan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membuat persiapan terakhir Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih menjelang hari penamaan calon pada esok hari di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 15 FEBRUARI 2019

Hasil tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati Dewan Sri Cempaka juga telah dipenuhi dengan pelbagai kelengkapan bagi proses penamaan esok.

Seperti biasa, ruang menunggu bagi kesemua calon sudah disusun malah kawasan media dan pemerhati telah disediakan.

Esok bermula jam 9 pagi proses penamaan akan mengambil tempat dan ditutup sejam kemudian.

Setakat ini hanya dua calon daripada BN dan Pakatan Harapan (PH) telah mengesahkan calon masing-masing. – MalaysiaGazette