Gambar hiasan

KANGAR – Tiga penghuni Rumah Kanak-Kanak Arau, Guar Nangka di sini dilaporkan hilang sejak petang semalam selepas mengikuti latihan rumah sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Arau.

Ketua Polis Daerah Arau, Supt Nanda Maarof dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka ialah Nishanty A/P Nantha Gopal, 17, dan adiknya Nirosha, 14, serta Amira Anisa Aziman, 16.

Kehilangan ketiga-tiga mereka telah dilaporkan kepada polis oleh penyelia Rumah Kanak-kanak Arau pada kira-kira pukul 6.50 petang, katanya.

“Laporan yang dibuat menyatakan ketiga-tiga mereka memakai pakaian sukan dan telah menukar pakaian T-shirt warna biru gelap selain tidak menggunakan telefon bimbit dan memiliki wang saku tidak melebihi RM50,” kata Nanda.

Sementara itu, apabila dihubungi Bernama, Nanda berkata, berdasarkan pengalaman lepas, polis tidak menolak kemungkinan mereka melarikan diri dan pulang ke pangkuan keluarga.

Polis, katanya, giat mencari mereka dan orang awam yang terlihat mereka boleh menghubungi Balai Polis Arau di talian 04-9861222 untuk tindakan lanjut.

Kes diklasifikasikan sebagai Orang Hilang dan masih dalam siasatan pihak polis. – Bernama