UMNO
Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof

KUALA LUMPUR – UMNO Mersing tidak tergugat meskipun wakil rakyat di kawasan itu keluar parti dan membuat keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd. Youzaimi Yusof berkata, parti itu tetap akan meneruskan khidmat bakti seperti biasa kepada rakyat walaupun tanpa wakil rakyat.

“Tindakan sama ada wakil rakyat, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri)  Endau dan Ahli Parlimen Mersing dan Ahli Parlimen Mersing ataupun ahli UMNO Mersing yang ingin meninggalkan parti keramat ini adalah hal peribadi masing-masing dan tidak bersangkut paut dengan kepimpinan bahagian.

“UMNO Bahagian Mersing akan terus mengukuhkan kedudukan di peringkat di peringkat akar umbi apabila UMNO peringkat cawangan akan mula bersidang pada 15 Februari ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, UMNO Bahagian Mersing akan meneruskan agenda utama perjuangan parti demi kesejahteraan bersama.

Mohd Youzaimi turut menyeru supaya wakil-wakil rakyat UMNO yang masih setia, sama ada di peringkat DUN Johjor mahupun Dewan Rakyat untuk terus memainkan peranan aktif dalam membela nasib rakyat.

“Jadilah ‘yang berhormat’ pembangkang berkaliber dan laksanakanlah sistem dua parti ini dengan jayanya.

“Kita perlu raikan demokrasi di Malaysia supaya nikmatnya dirasainya rakyat. UMNO Bahagian Mersing juga menyambut baik dan akan menyokong sepenuhnya usaha dan gerakan yang akan dilakukan oleh kepimpinan Majlis Tertinggi UMNO.

“Sama ada untuk menyaman kedua-dua wakil rakyat di Mersing yang telah melompat parti atau apa-apa sahaja tindakan yang akan dilakukan kelak.

“Biarlah sejarah ini tidak lagi berulang di tempat lain ataupun pada masa yang akan datang.

“Kepimpinan UMNO Bahagian Mersing dan ahli-ahli UMNO Bahagian Mersing akan terus bermuafakat untuk memastikan ketiga-tiga kerusi akan kekal menajdi milik UMNO dan BN sama ada sekiranya berlaku pilihanraya kecil mahupun pada PRU15 akan datang,” ujarnya.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Latiff Ahmad mengumumkan menyertai Bersatu bersama enam lagi Ahli Parlimen UMNO yang lain.

Turut meninggalkan UMNO, ADUN Endau, Alawiyah Talib yang mengumumkan Bersatu pada Mei tahun lepas sejurus selepas PRU14 dengan memberi alasan mengambil kira kepentingan rakyat dan perpaduan Melayu. – MalaysiaGazette