Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard
Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun diingatkan tidak mengulangi kesilapan Barisan Nasional (BN) dengan melantik syarikat YTL Communications untuk mengendalikan menara telekomunikasi di negeri itu.

Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, kegagalan YTL Communications memenuhi kontrak memasang rangkaian internet jalur lebar 1BestariNet di 1003 sekolah sebelum ini harus dijadikan sebagai kayu pengukur sebelum lantikan itu dibuat.

Katanya, oleh kerana kononnya syarikat berkaitan telekomunikasi milik 30 peratus kerajaan negeri, Rangkaian Minang Sdn Bhd mempunyai kepentingan ‘proksi’ kerajaan sebelum ini, maka Aminuddin didakwa mahu menubuhkan syarikat baharu.

“Pada 24 Ogos 2018 di Hotel Mewah Lexis Hibiscus, Port Dickson telah dipanggil Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah Perbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan (bil 03/2018) di mana agenda utamanya ialah pembentangan syarikat syarikat terpilih ke arah mewujudkan sebuah syarikat telekomunikasi baharu.

“Sebanyak lima syarikat dipanggil. Empat syarikat menunjukkan minat dan satu syarikat kurang berminat. Namun yang paling menariknya ialah sebuah syarikat yang dikenali sebagai Kumpulan Jaringan Selangor Sdn Bhd yang dimiliki oleh YTL melalui YTL Comunications Sdn Bhd dan YTL Power International Bhd.

“Menurut maklumat diperolehi, tiga syarikat tersebut hampir pasti tidak memperolehi projek tersebut. Syarikat di bawah YTL dikatakan bakal memperolehi projek tersebut,” katanya dalam posting terbaru blognya, semalam.

Chegubard
Surat mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan berkenaan pembentangan syarikat syarikat terpilih ke arah mewujudkan sebuah syarikat SBC baru bagi telekomunikasi yang didedahkan Chegubard semalam.
Chegubard
Surat mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan berkenaan pembentangan syarikat syarikat terpilih ke arah mewujudkan sebuah syarikat SBC baru bagi telekomunikasi yang didedahkan Chegubard semalam.

Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard menegaskan sekiranya syarikat milik YTL itu diberikan hak tunggal mengendalikan semua menara telekomunikasi di negeri itu, masalah sama akan berulang sebagaimana yang dibebankan kepada 1003 sekolah seluruh negara sebelum ini.

“Rekod syarikat ini guna duit rakyat bina menara percuma di kawasan sekolah buat untuk dengan rangkaian YES namun berikan perkidmatan minima tanpa pedulikan aduan di sekolah seluruh negara,” dakwanya.

Chegubard juga menggesa kerajaan negeri memberi perhatian kepada tindakan syarikat telekomunikasi Celcom, Maxis dan UMobile yang tidak menerima YTL sebagai anggota kepada Telco Forum dengan alasan utama ia beroperasi dengan TDD platform, berbeza CDMU yang beroperasi dengan FDD platform.

“Ini semua bakal meberikan impak besar masa depan. Malah sudah pasti YTL jika diberi hak mengendali menara yang bakal digunakan semua telco (provider) akan mengakibatkan pertembungan kepentingan kerana YTL itu sendiri ialah telco (provider) juga,” katanya.

Malah dakwanya lagi, sebahagian besar pasukan pemutus berkenaan perkara ini dalam Kerajaan Negeri Sembilan tidak bersetuju untuk memberikan hak projek kepada syarikat di bawah YTL namun mengalami tekanan.

“Demi kepentingan ramai maka diharapkan mereka ini kuat untuk membuat keputusan berdasarkan kelayakan demi mempertahankan intergriti bukan kerana tekanan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette