Home Seni Hidup Altimet hidang persembahan terakhir menerusi konsert

Altimet hidang persembahan terakhir menerusi konsert

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui sebelum ini penyanyi dan komposer Altimet menyuarakan hasratnya untuk bersara dalam industri seni.

Walaupun tercalon dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 baru-baru ini beliau tidak menyanyi lagu Bunga.

Sebagai pengakhiran kariernya dalam bidang nyanyian, Altimet akan mengadakan The Last Altimet Show yang akan berlangsung pada malam ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Konsert itu katanya akan digunakannya untuk mengimbau perjalanan karier beliau bersama-sama peminatnya yang bakal hadir.

“Sedih memikirkan ini adalah kemunculan terakhir saya menghiburkan peminat. Sejak 10 tahun bergerak solo, saya sentiasa menyimpan impian untuk mengadakan konsert dan bangga apabila perancangan itu menjadi kenyataan.

“Saya akan membawa peminat mengimbau perjalanan seni saya bermula dari 2008 dan harap ia dapat menyentuh hati semua,” katanya.

Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 40, bagaimanapun bersyukur kerana segala yang dirancang akhirnya dapat direalisasikan.

The Last Altimet Show juga ,katanya, menjadi lambang penghargaan Altimet terhadap keluarga dengan mempersembahkan lebih 20 lagu, dipetik daripada album pertama hingga sentuhan terbaru.

Selain Altimet, konsert itu juga menghimpunkan rakan seperjuangannya termasuk Noh Salleh, Awi Rafael, Hazama, Joe Flizzow, Aizat Amdan, Aman Ra, Ila Damia, Amir Jahari, Zizi Kirana, SoneOne, Tomok dan Salam Musik.

Lebih istimewa, konsert itu juga turut menampilkan kumpulan lamanya, Teh Tarik Crew .- MalaysiaGazette