Keretapi separa laju, Vande Bharat Express. Foto Agensi

NEW DELHI – Operasi keretapi terpantas di India terjejas dalam perjalanan pertama sehari selepas ia dirasmikan oleh Perdana Menteri, Narendra Modi.

Kerosakan itu berlaku semasa Vande Bharat Express yang berkelajuan separa tinggi itu kembali ke ibu negara Delhi dari bandar Varanasi ketika membawa rombongan rasmi dan wartawan.

Ia dipercayai mengalami masalah brek.

Media India memetik seorang jurucakap kereta api mengatakan kereta api tersebut mungkin telah terlanggar haiwan ternakan semasa dalam perjalanan.

Kereta api mencapai kelajuan 180km/jam (110mph) semasa ujian.

Selepas breknya gagal berfungsi, pemandu keretapi mendapati ada asap keluar pada koc keempat terakhir dan kuasanya hilang.

Rombongan rasmi dan media terpaksa dipindahkan ke keretapi lain untuk balik ke New Delhi.

Perkhidmatan keretapi itu dijangka mula beroperasi secara rasmi mulai esok.

Perkhidmatannya dapat mengurangkan masa perjalanan antara New Delhi dan Varanasi sebanyak enam jam. – MalaysiaGazette