Suasana di Dewan Cempaka bagi penamaan calon PRK Semenyih.

KAJANG – Dianggarkan 300 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang bersiap sedia mengawal keselamatan dan kelancaran perjalanan proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka MPKj pagi ini.

Mereka mula berkumpul di perkarangan dewan yang terletak di Taman Saujana Impian Kajang seawal 6 pagi lagi.

Jalan utama sekeliling dewan berkenaan telah ditutup pada jarak 50 meter di kedua-dua bahagian untuk kegunaan awam sehingga proses penamaan calon pagi ini yang akan bermula 9hingga 10 pagi selesai tanpa sebarang masalah.

Parti parti calon bertanding turut disediakan lokasi untuk berkumpul dan berarak ke pusat penamaan calon dari luar kawasan 50 meter.

Proses penamaan calon akan bermula 9 pagi selama sejam untuk calon mengemukakan borang pencalonan masing masing.

Setakat ini belum ada kelibat penyokong penyokong parti parti calon bertanding di hadapan pusat penamaan calon berkenaan.

Calon Pakatan Harapan diwakili Muhammad Aiman Zailani, 30, merupakan menantu Allahyarham Ahmad Bakhtiar Mohd Nor yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 16 Januari lalu.

Barisan Nasional mengetengahkan calon berusia 58 tahun yang juga anak tempatan Semenyih iaitu Zakaria Hanafi dan calon PSM NikAziz Afiq Abdul.

Seorang calon bebas Kuan Chee Heng yang popular dengan gelaran pakcik kentang juga akan mencalonkan diri untu bertanding dalam PRK yang ditetapkan pada 2 Mac ini.

Seramai 53,520 pengundi biasa berdaftar akan mengundi pada 2 Mac ini untuk memilih wakil rakyat baharu. – MalaysiaGazette