Penyanyi, Misha Omar membuat persembahan pada Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) di Axiata Arena, Bukit Jalil. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Penyanyi Misha Omar memberi peringatan kepada beberapa individu yang menuduhnya menggunakan sihir ketika beraksi pada Anugerah Juara Lagu Ke- 33 (AJL 33) supaya bersemuka dalam tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan susulan.

Katanya, penyebaran status di laman Twitter yang mengaitkannya dengan perbuatan khurafat itu mencalarkan reputasi dan kerja keras sepanjang 17 tahun menceburi bidang seni suara.

“Saya rasa bertanggungjawab untuk mempertahankan diri selepas beberapa individu membuat tuduhan itu, sedangkan mereka tidak mengenali atau tahu perjalanan yang saya lalui.
Saya tidak minta wang ringgit, sebaliknya mahu individu terbabit berjumpa saya secara empat mata untuk memohon maaf tanpa bersyarat di hadapan rakan yang lain kerana mereka yang menyaksikan jatuh bangun saya.

“Sudah tentu saya ingin bertanya, apa salah saya dan di mana mereka mendapat maklumat hingga tergamak menabur fitnah seperti itu,” katanya memetik laporan BH Online.

Sidang media itu turut disertai dua peguamnya dari firma Amelda Fuad Abi & Aidil iaitu Abi Mursyidin Awal dan Ahmad Fuad Hasim.

Misha berkata, komen keterlaluan itu sengaja dicetuskan pihak tertentu susulan kejayaannya pada malam kemuncak AJL 33 yang berlangsung 3 Februari lalu.

Pada acara itu, Misha atau nama sebenarnya, Samihah @ Aisah Omar, 37, dinobatkan sebagai penerima trofi Vokal Terbaik.

Lagu nyanyiannya, Sampai Bila ciptaan Sharon Paul, manakala lirik Ahmad Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri pula memenangi tempat ketiga.

Sementara itu, Misha memaklumkan dia sudah membuat dua laporan polis, masing-masing di Balai Polis Kota Damansara dan Balai Polis Salak Selatan, semalam.

Katanya, tindakan tegas itu terpaksa diambil untuk mendidik masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial hingga menjadikannya sebagai senjata fitnah dan mengaibkan orang lain.

“Pada awalnya, saya anggap ia sebagai gurauan, namun selepas ada dalam kalangan rakan artis junior turut mengusik dengan menyebut perkataan ‘Mak Esah’, ia menunjukkan perkara itu sudah merebak.

“Sudah pasti, saya berkecil hati, kecewa dan marah. Ada juga komen yang mengaitkan saya dengan jin kerana mengadakan latihan akhir bersama Datuk Syafinaz Selamat di ruang berhampiran tandas di stadium, tempoh hari,” katanya.

Sementara itu, Abi Mursyidin berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan susulan sebaik penyanyi terbabit bertemu mereka untuk mendapatkan nasihat guaman.

“Kami sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengenal pasti individu yang terbabit, selain menunggu tindakan lanjut.

“Misha bukan menuntut wang berjuta, sebaliknya cuma mahu mereka meminta maaf. Lebih elok juga status itu dipadam dan jangan disebarkan lagi. Kita tunggu hingga tujuh hari lagi atau tindakan susulan akan dibuat,” katanya. – MalaysiaGazette